Bantu golongan sasar keluar kepompong kemiskinan - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri perlu meningkatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan sasar untuk keluar dari kepompong kemiskinan, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menurut Baginda, usaha sedia ada termasuk pelaksanaan program-program kerajaan perlu diteruskan dalam usaha mengurangkan kitaran kemiskinan di negeri itu.
"Beta dimaklumkan negeri Terengganu merekodkan 6,330 ketua isi rumah (KIR) yang berstatus miskin tegar.
"Pelbagai pendekatan serta inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan beta bagi mengurangkan kitaran kemiskinan ini termasuk pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-BMT) secara berperingkat melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM23 juta.
" Seramai 168 KIR miskin tegar bagi lapan daerah telah dilibatkan di dalam projek pertanian, keusahawanan, pertukangan, kraftangan, jahitan dan telah mula merekodkan janaan pendapatan tambahan secara puratanya sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan bagi setiap KIR.
"Oleh yang demikian, beta menyarankan agar inisiatif seperti ini perlu diperbanyakkan agar golongan sasar bebas dan terus keluar daripada insiden kemiskinan," titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini, pada Ahad.
Selain itu, Sultan Mizan juga menitahkan kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang bakal memberikan rantaian impak di dalam persekitaran sosial serta ekonomi yang inklusif, kukuh dan mampan melalui perkembangan pembangunan wilayah di Terengganu, melestarikan pelan pembangunan pelancongan serta pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.
"Tumpuan wajar diberi ke arah peluang pelaburan, ekonomi dan pekerjaan, perkembangan potensi pertanian serta pembangunan modal insan," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah pasca Covid-19 memberikan cabaran baharu kepada sektor pelancongan dalam mendepani senario ekonomi dunia yang tidak menentu.
"Kerajaan beta perlu meneroka potensi baharu dalam industri ini agar dapat memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada, beri penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenalpasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!