Status Saka bimbangkan Arsenal
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta berharap kecederaan Bukayo Saka tidak serius selepas The Gunners menang 4-0 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality pada Sabtu.
Dalam aksi terbabit, pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-17 sering menjadi sasaran asakan jentera Bournemouth sebelum Arsenal melakar kemenangan meyakinkan di laman The Cherries.
Penalti daripada Martin Odegaard (m-44) dan Kai Havertz (m-53) melebarkan lagi kelebihan jaringan The Gunners sebelum jaringan minit ke-93 Ben White melengkapkan pesta gol pelawat.
Namun Saka terpaksa digantikan dengan Fabio Vieira pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan selepas diasak pertahanan Bournemouth, Milos Kerkez.
Malah, Arteta berharap sayap lincah itu akan kembali sembuh untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang kelab Ligue 1 Perancis, Lens pada Rabu sebelum berdepan Manchester City pada Ahad.
“Tahap kecederaan Saka akan di diagnosis pasukan perubatan, namun saya percaya kecederaannya di tempat sama seperti sebelum ini.
“Situasi sama juga dihadapi Gabriel Jesus sebaik selepas perlawanan akan dinilai tahap kecederaan oleh pasukan perubatan.
“Buat masa ini saya hanya memikirkan bagaimana kami akan membuat persediaan berdepan Lens diikuti City kemudiannya,” kata Arteta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!