Insentif PH untuk bantu graduan

Dr Chang Peng Kee
Dr Chang Peng Kee
A
A
A

LENGKAP satu tahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan Persekutuan.

Pelbagai inisiatif telah cuba dilaksanakan demi kesejahteraan kehidupan rakyat.

Usaha ini ternyata dalam usaha pencapaian Teras 1 Manifesto PH yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu 'Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat'.

Manifesto itu yang dilancarkan pada tahun lepas turut berjanji menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

Kebelakangan ini tumpuannya beralih kepada graduan baharu setelah Bank Negara mendedahkan dalam laporannya, gaji permulaan siswazah semakin kurang selepas mengambil kira faktor inflasi dalam lapan tahun kebelakangan ini.

Pada 2 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk pemberian subsidi elaun dan gaji kepada graduan tempatan yang baru selesai pengajian.

Ini satu usaha yang paling menarik perhatian graduan yang sentiasa merungut tentang peningkatan kos sara hidup yang mendadak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula berkata, beliau lebih suka menggunakan istilah ‘insentif tambah pendapatan’ berbanding dengan istilah ‘subsidi gaji’ yang digunakan dalam laporan media sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Cadangan yang dikemukakan pada Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya baru-baru ini antara lain mencadangkan RM6 bilion diperuntukkan sebagai subsidi elaun dan gaji bagi membantu 50,000 orang muda untuk mendapatkan pekerjaan.

Subsidi tidak langsung itu dikatakan akan diberikan melalui syarikat yang sukarela untuk melaksanakannya.

Mengikut kiraan sebuah akhbar Cina tempatan, seorang graduan ijazah pertama akan diberi gaji RM2,500 dan hanya separuh daripada amaun itu perlu ditanggung oleh majikan.

Dalam pada itu, beberapa persoalan timbul daripada cadangan asal tersebut.

Yang pertama, siapakah 50,000 orang muda yang layak mendapat insentif atau subsidi itu?

Seterusnya, adakah berpatutan bagi kerajaan ‘memberi gaji’ kepada majikan untuk menggaji 50,000 orang muda yang terlibat?

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan yang paling terkini diterbitkan Kementerian Pendidikan, seramai 299,635 graduan dihasilkan oleh 414 institusi pengajian tinggi tempatan pada 2017.

Sebanyak 45.6 peratus atau 136,645 orang adalah graduan ijazah pertama. Peruntukan 50,000 orang muda itu hanya mampu untuk membantu hampir satu per tiga daripada bilangan tersebut.

Ini belum mengambil kira 120,650 graduan diploma dan 11,547 graduan sijil. Bilangan graduan meningkat setiap tahun dan dijangka melebihi 300,000 pada tahun ini.

Tanpa mengira graduan PhD dan sarjana, sekurang-kurangnya 250,000 graduan pegangan ijazah pertama, diploma dan sijil setiap tahun atau lima kali ganda daripada bilangan yang dicadangkan layak menerima insentif itu.

Ini memang akan menjadi beban besar yang perlu ditanggung oleh negara kita dan sudah tentu peruntukan RM6 bilion tidak mencukupi sama sekali.

Sebenarnya kerajaan tidak perlu memberi subsidi elaun bulanan RM700 hingga RM1,000 kepada graduan baharu selama dua tahun.

Gaji minimum ikut peringkat ijazah dan bidang boleh ditetapkan supaya ditanggung penuh oleh majikan.

Kerajaan mungkin boleh beri rebat cukai korporat yang berpatutan kepada mereka yang sudi mengambil graduan yang baru selesai pengajian dalam tempoh selama dua tahun.

Revolusi Industri

Dalam masa dua tahun itu, graduan seharusnya sudah dapat menyesuaikan diri dalam industri pekerjaan.

Untuk meningkatkan lagi daya saingan graduan mentah itu perlu digalakkan menjadi lebih matang dengan mengambil kursus sijil profesional industri.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyalurkan insentif itu supaya mereka dapat berdikari pada masa hadapan dan mula membuat adaptasi kepada era Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0.

Kita sedia maklum bahawa terdapat sembilan tonggak dalam IR4.0 yang sedang mengubah cara hidup kita.

Sembilan tunggak itu yang harus diserap oleh graduan baharu dalam pekerjaan adalah robotik autonomi (autonomous robot), analisis data besar (big data), teknologi awan (cloud computing), teknologi peranti pintar (internet of things), realiti maya (augmented reality), integrasi sistem industri (industry system integration), percetakan 3D (3D printing), simulasi (simulation), sekuriti siber (cyber security).

Apabila IR4.0 mula dilancarkan dalam World Economic Forum (WEF) pada 2016, tidak sempat sukatan pelajaran itu disampaikan oleh institusi pengajian tinggi tempatan kepada graduan baru selesai pengajian dua tahun kebelakangan dan mungkin untuk dua atau tiga tahun akan datang.

Cadangan insentif bantuan pendapatan graduan melalui kursus sijil profesional industri agar selari dengan IR4.0 didapati tepat pada masanya.

Peningkatan kemahiran sedemikian seperti diberi joran yang lebih baik daripada memberi ikan sebab joran dapat memperkasakan graduan memancing lebih banyak ikan tanpa berhenti pada masa hadapan.

Berbalik kepada gaji permulaan graduan baharu yang berpatutan.

Setelah Bank Negara mendedahkan gaji benar permulaan yang makin menurun daripada bandingan 2018 dengan 2010, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melalui Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan memberitahu bahawa data perkumpulan majikan menunjukkan seorang pemegang diploma boleh mendapat pendapatan sebanyak RM1,661 pada tahun lepas berbanding dengan RM1,458 pada 2010.

Graduan dengan ijazah pertama boleh memperoleh gaji permulaan RM2,393 berbanding dengan RM1,993. Beliau berkata, data itu adalah berdasarkan Kajian Gaji MEF untuk eksekutif dan bukan eksekutif 2010 dan 2018 dengan data yang dikumpul daripada syarikat anggota yang terlibat.

Dalam pada itu, majikan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menawarkan gaji permulaan yang kurang daripada RM2,465 untuk graduan ijazah pertama dan RM1,711 untuk graduan diploma. Amaun itu harus diselaraskan dari masa ke masa dengan mengambil kira kadar inflasi dan ikut kawasan bekerja.

Dari segi pertimbangan ekonomi, mengupah seseorang pekerja juga harus mengambil kira pulangan nilainya kepada majikan dari segi produktiviti. Graduan sebagai pekerja juga harus bertanggungjawab terhadap gaji yang diberikan kepada mereka supaya berpatutan dan adil kepada dua-dua pihak majikan dan pekerja.

Peningkatan nilai kerjaya dengan inisiatif sepanjang kehidupan dalam tempat kerja adalah faktor terbaik untuk menuntut gaji yang lebih tinggi dan berpatutan.

Majikan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menawarkan gaji permulaan yang kurang daripada RM2,465 untuk graduan ijazah pertama dan RM1,711 untuk graduan diploma.

Amaun ini harus diselaraskan dari masa ke masa dengan mengambil kira kadar inflasi dan ikut kawasan bekerja. "

*Dr Chang Peng Kee ialah Profesor Madya Komunikasi (Perhubungan Awam) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Felo Kanan Bersekutu di Institut Kajian Etnik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!