Johor siap sedia hadapi jerebu, Larkin catat IPU tertinggi

Tian Soon (kanan) dan K Raven (dua dari kanan) menunjukkan keadaan di sekitar Larkin yang dilanda jerebu.
Tian Soon (kanan) dan K Raven (dua dari kanan) menunjukkan keadaan di sekitar Larkin yang dilanda jerebu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bersedia berdepan jerebu dengan memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dicatatkan di Larkin dan Batu Pahat pada Ahad.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jabatan kecemasan dan trauma, hospital di seluruh negeri telah diarah bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan pertambahan pesakit berkaitan saluran pernafasan ketika jerebu melanda.

"Pada sebelah pagi, saya telah mengadakan lawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Dimaklumkan hospital awam berkenaan juga telah bersedia menerima pertambahan pesakit akibat jerebu.

"Begitu juga di hospital- hospital awam di setiap daerah juga turut bersedia. Masalah jerebu ini dihadapi setiap tahun, Maka setiap hospital sudah ada pengalaman masing-masing untuk membuat sebarang langkah persediaan awal," katanya ketika meninjau keadaan jerebu di Larkin pada Ahad.

Keadaan di sekitar kawasan Larkin Sentral yang berjerebu.
Keadaan di sekitar kawasan Larkin Sentral yang berjerebu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

Tian Soon turut menasihatkan orang ramai terutama mereka yang mempunyai penyakit salur pernafasan seperti asma supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka.

"Banyakan minum air kosong bagi memastikan tekak tidak kering sekali gus menyebabkan kerengsaan yang boleh mengakibatkan komplikasi penyakit salur pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi ialah Larkin dengan bacaan 156, diikuti Nilai (136), Bukit Rambai (134), Port Dickson (128), Kuala Lumpur (112), Seberang Jaya (107) dan Batu Pahat (104).

Empat lagi kawasan di Johor merekodkan bacaan kualiti udara sederhana dengan Pasir Gudang mencatatkan bacaan IPU 92 ; Bandar Penawar, Kota Tinggi (79); Kluang (78) dan Pengerang, Kota Tinggi (71).

Keadaan di sekitar Larkin yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi pada Ahad.
Keadaan di sekitar Larkin yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi pada Ahad.

Sementara itu, Raven Kumar berkata, perbincangan segera akan diadakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berhubung aktiviti luar sekolah di Larkin dan Batu Pahat yang perlu ditangguhkan susulan jerebu.

"Semua sekolah di Larkin dan Batu Pahat terutama yang terjejas dengan jerebu agar menangguhkan sementara semua aktiviti luar yang dijadualkan.

"Ketika ini, Larkin masih mencatat bacaan kualiti udara tak sihat iaitu IPU 156 manakala Batu Pahat pula adalah 115.

"Pemantauan berterusan akan dilakukan Kerajaan Johor terhadap isu jerebu termasuk memanggil mesyuarat jawatankuasa bencana jika ia semakin serius untuk beberapa hari akan datang" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!