Perak hilang dua tonggak

Mehmed ketika sidang media selepas tamat perlawanan Perak menentang PKNP FC di Stadium Perak, malam tadi.
Mehmed ketika sidang media selepas tamat perlawanan Perak menentang PKNP FC di Stadium Perak, malam tadi.
A
A
A

IPOH - Perak kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Ahad nanti.

Ketua jurulatih pasukan, Mehmed Durakovic berkata, penjaga gol utama mereka, Hafizul Hakim dan pertahanan, Zac Anderson mengalami kecederaan lutut.

Katanya, kedua-dua pemain itu dijangka pulih dalam tempoh satu hingga dua minggu.

"Kita yakin dengan keupayaan pemain sedia ada malah Khairul Amir (penjaga gol) bermain dengan baik pada perlawanan menentang PKNP FC.

"Apa pun kita akan lakukan yang terbaik pada perlawanan seterusnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan Perak menentang PKNP FC di Stadium Perak malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Perak berjaya memperoleh tiga mata penuh selepas menundukkan PKNP FC 3-1 hasil jaringan pemain import baharu mereka, Carera dan Ronaldo Henrique Silva.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut Durakovic memuji persembahan bertenaga anak buahnya.

Katanya, secara keseluruhan kesemua pemain beraksi baik dan tidak patah semangat.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira dengan pemain. Mereka menunjukkan aksi yang sangat baik pada malam ini.

"Baik pemain tempatan mahupun pemain import, mereka mempamerkan kesungguhan dan aksi yang mengagumkan," katanya.

Kemenangan ke atas PKNP FC itu melonjakkan Perak berada di kedudukan tangga kelima liga dengan mengutip 17 mata selepas memperoleh tiga kemenangan, lapan seri dan tewas dua kali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!