Polis tahan lelaki miliki kad pesakit mental

Video tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang berhibur di sebuah dewan dipercayai di Gua Musang
Video tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang berhibur di sebuah dewan dipercayai di Gua Musang
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan sekumpulan lelaki sedang berhibur dalam sebuah dewan tertutup dipercayai di Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, polis turut menemui satu kad pesakit mental bersama lelaki berusia 28 tahun yang ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Menurutnya, lelaki terbabit menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Chiku 3 di Gua Musang.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan ujian urin ke atas lelaki itu mendapati negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam dengan gambar dan lambang tertentu berhibur di sebuah dewan yang dipercayai berlaku pada Khamis kira-kira jam 9.30 malam.

Dalam pada itu, Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati seramai empat kumpulan muzik hadir di dewan berkenaan melibatkan dua dari Kelantan dan masing-masing satu kumpulan dari Terengganu dan Kuala Lumpur,.

"Kain rentang yang dipasang untuk acara dan sewaan penggunaan dewan dimohon oleh seorang lelaki yang kini sedang dikesan polis," katanya.

Tambahnya lagi, tempahan dewan dilakukan kepada penjaga dewan pada 4 September lalu melalui aplikasi WhatsApp dengan bayaran RM200 secara transaksi perbankan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan sewaan untuk peralatan muzik dan persembahan bermula jam 9 pagi hingga 7 petang tetapi tiada sebarang tiket dijual," katanya.

Beliau turut memaklumkan, tiada sebarang permit permohonan hiburan dipohon oleh pihak penganjur dan siasatan mendapati seramai 30 individu hadir dalam persembahan yang turut terdapat minuman keras.

Choon Foo mengesahkan sehingga kini polis belum menerima sebarang permohonan permit penganjuran hiburan daripada mana-mana individu atau kumpulan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan 1998.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!