PM mahu kesedaran menabung, penglibatan saham bermula di peringkat sekolah
KEPALA BATAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tanggungjawab, pencerahan dan kesedaran mengenai menabung atau penglibatan dalam saham dimulakan daripada peringkat sekolah.
Justeru, satu perbincangan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluaskan mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.
Anwar berkata, dengan rekod, integriti syarikat dan pengurusan baik yang ditunjukkan PNB, pencerahan mengenai saham dan simpanan perlu dilaksanakan bermula dengan melatih guru-guru terpilih di sekolah.
Menurutnya, berdasarkan agenda kelestarian PNB, ia merupakan sebuah syarikat yang mempunyai rekod pengurusan yang baik setelah sekian lama.
"Kita tidak boleh buat andaian mereka yang menyimpan, menabung atau terlibat dalam saham itu, dengan sendirinya mempunyai maklumat yang cukup.
"Oleh demikian, saya bagi jaminan pada pengerusi (PNB) untuk adakan satu perbincangan dengan KPM dan KPT untuk memperluaskan mengenai kesedaran menabung dan penglibatan dalam saham ini di sekolah-sekolah.
"Kita pilih guru, latih mereka dan berikan latihan daripada PNB sendiri untuk memberikan pencerahan dan tanggungjawab kesedaran tambahan di peringkat sekolah, iaitu literasi saham serta pendedahan awal mengenainya," ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang serta orang kenamaan lain.
Beliau turut menggesa guru di sekolah-sekolah supaya memanfaatkan MSAM sebagai kegiatan yang didukung sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Sementara itu, Raja Arshad berkata, matlamat PNB adalah memberi inspirasi kepada semua khususnya golongan muda untuk terus menimba ilmu dan mengejar pendidikan tinggi serta menceburi bidang STEM.
Menurutnya, bertemakan Bijak Melabur, Santai Berhibur, MSAM 2023 mencerminkan usaha berterusan PNB untuk meningkatkan kesedaran mengenai literasi kewangan dengan pendekatan yang menarik.
"Kedua-dua agenda MSAM 2023 ini adalah untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia serta menggabungkan elemen STEM.
"Ia selaras dengan visi Penang2030 yang dilancarkan pada Ogos 2018 yang memberi penekanan kepada pembangunan institusi keluarga dan aspek-aspek negeri hijau dan pintar," katanya.
MSAM 2023 yang bermula pada 30 September hingga 8 Oktober ini memberi fokus kepada elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran.
MSAM 2023 memulakan perjalanan pertamanya pada tahun 2000 di Kuala Lumpur dengan 60,000 pengunjung yang mana, ia menyaksikan pertumbuhan yang mengagumkan dalam bilangan pengunjungnya.
Sejak ia diadakan, MSAM telah menerima lebih 3.9 juta pengunjung, menarik pengunjung dari kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar.
Sementara itu, MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari itu menampilkan gerai-gerai rakan korporat, syarikat strategik dan teras terpilih, membolehkan pengunjung memahami bagaimana hasil pelaburan dalam syarikat-syariat ini diperoleh dan diedarkan kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer, terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, bank, badan kawal selia, dan agensi kerajaan negeri.
Pengunjung MSAM 2023 yang mendaftar melalui aplikasi 'PNB Events App' berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai hampir RM1.4 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!