Mesyuarat AMAF ke-45 bermula esok di Kuala Lumpur

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) kali ke-45 yang bermula esok hingga 6 Oktober ini di Kuala Lumpur, dijangka membincangkan secara lebih lanjut berhubung inisiatif dan kerjasama pertanian antara negara anggota.

Selain itu, perbincangan turut melibatkan rakan dialog dalam usaha melaksanakan Garis Panduan ASEAN mengenai Pertanian Mampan yang telah diterima pada mesyuarat AMAF ke-44 tahun lepas.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat berkenaan akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan dihadiri Menteri dan Timbalan Menteri Pertanian ASEAN dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Penganjuran AMAF itu juga menyaksikan Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah selepas kali terakhir penganjurannya dan mesyuarat AMAF Campur Tiga yang melibatkan 10 negara anggota ASEAN (AMS) dan tiga rakan dialog strategik China, Jepun dan Korea Selatan, pada 2013.

"Mesyuarat ini merupakan platform bagi AMS membincangkan dan mengetengahkan isu berkaitan pertanian serta perhutanan di rantau ini. Ia juga menjadi payung kepada badan-badan sektoral yang memberikan fokus lebih khusus merangkumi elemen dan disiplin pertanian yang lain,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat AMAF merupakan mesyuarat berjadual di bawah rangka kerjasama sektor pertanian ASEAN yang diadakan sejak 1968 dan dianjurkan secara bergilir dalam kalangan 10 negara AMS, khusus kepada sektor pertanian dan perhutanan termasuk subsektor komoditi dan makanan.

Menurut kenyataan itu penganjuran Mesyuarat AMAF akan disusuli Mesyuarat AMAF Campur Tiga dengan KPKM merupakan titik fokal untuk AMAF dan mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (SOM-AMAF) di Malaysia. Mesyuarat AMAF tahun ini bertemakan "Growing Together: Advancing ASEAN Agriculture And Forestry For Sustainable Development.”

"Tema ini amat relevan dengan visi kerjasama ASEAN dalam sektor pertanian dan makanan iaitu untuk mewujudkan sektor makanan, pertanian dan perhutanan yang berdaya saing, inklusif, berdaya tahan dan mampan serta bersepadu dengan ekonomi global.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, bidang khusus di bawah kerjasama ASEAN dalam pertanian dan makanan merangkumi sekuriti makanan, keselamatan makanan, makanan halal, tanaman, ternakan, latihan dan pengembangan pertanian, koperasi pertanian, dan kerjasama dalam skim promosi pertanian serta hasil hutan,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!