Ibu bapa sanggup bermalam di masjid demi hantar anak ke UPM

Nur Syahidatul Iman (kanan) ditemani ibunya ketika bermalam di Masjid UPM.
Nur Syahidatul Iman (kanan) ditemani ibunya ketika bermalam di Masjid UPM.
A
A
A

SHAH ALAM - Demi menghantar anak menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), ramai ibu bapa sanggup bermalam di masjid institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Menceritakan semula kisah mendaftarkan diri ke universiti tersebut, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Rumah Tangga), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Nur Syahidatul Iman Ahmad Tamizi, 19, menyatakan dia bersama ibu dan adik-adiknya menaiki bas dari Gurun, Kedah.

Menurutnya, pengorbanan ibunya yang sanggup menghantar dari jauh demi mengubah masa depan adalah perkara yang akan diingati dan dihargainya.

"Saya sudah tiada ayah, jadi kami terpaksa menaiki bas untuk ke UPM bersama ibu dan juga adik-adik kerana tiada siapa pandai memandu. Saya sangat gembira kerana adik dan ibu banyak membantu saya untuk menyambung ijazah di UPM.

"Inilah pengorbanan besar yang dilakukan oleh ibu. Saya akan tunaikan hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang guru sama sepertinya," katanya yang menyertai program Musafir Hana di Masjid UPM, Serdang pada Ahad.

Difahamkan, anak ketiga daripada lima beradik itu akan menjadi penyambung legasi ibunya yang juga berkhidmat sebagai guru.

Norsyam Hakimi (tengah) bersama ibu bapanya bermalam di Masjid UPM.
Norsyam Hakimi (tengah) bersama ibu bapanya bermalam di Masjid UPM.

UPM dalam kenyataan memaklumkan, masjid UPM menganjurkan Program Musafir Hana yang menjadikannya sebagai persinggahan sementara bagi pelajar dan keluarga dari perantauan untuk berehat atau tidur semalaman.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, program itu bertujuan menyediakan penginapan sementara kepada bakal pelajar dan keluarga yang tiada tempat tinggal ketika sesi pendaftaran.

Katanya lagi, makanan dan minuman disediakan secara percuma untuk bakal pelajar dan keluarga serta bantuan kewangan sebaik sahaja mereka tiba di masjid sehingga pulang semula ke kampung halaman.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani), FPP, Norsyam Hakimi Abdu Mukmin, 20, berkata, hanya dengan pendidikan sahaja mampu untuk mengubah nasib keluarga.

"Saya pada mulanya ingin terus bekerja sebagai polis atau bekerja dengan keputusan SPM, namun ayah tidak mengizinkan dan menyuruh saya untuk terus belajar dan ubah nasib keluarga kami ini di Besut, Terengganu.

"Kerana kesungguhan ingin menjadi seorang guru, saya hadir ke temuduga di UPM seorang diri menaiki bas dan juga Grab.

Inisiatif pemasangan khemah untuk kegunaan keluarga bagi program Musafir Hana sempena Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu UPM sesi akademik 2023/2024 di Masjid UPM.
Inisiatif pemasangan khemah untuk kegunaan keluarga bagi program Musafir Hana sempena Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu UPM sesi akademik 2023/2024 di Masjid UPM.

"Alhamdulillah, saya berjaya mendapat tawaran belajar di UPM sebagai seorang guru berkat doa ibu dan ayah," katanya.

Tambah Norsyam Hakimi, sebelum bertolak ke UPM, ayahnya sempat menjual kuih di pasar sebelum bergegas menghantarnya.

"Saya akan ingat segala pengorbanan ayah dan ibu selama-lamanya. Saya akan menjadi contoh kepada adik-adik yang masih kecil, ujarnya ketika ditemubual di Masjid UPM bersama ahli keluarga yang bermalam di sana," ulasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!