Mitos kurus ketika berpuasa

Apa sebenarnya punca di sebalik berat badan naik mencanak dialami ramai individu?

A
A
A
ANALOGI pemikiran kita lazimnya selalu memikirkan bahawa bulan puasa merupakan masa terbaik untuk menurunkan berat badan.

Ramai mengandaikan lebih 14 jam berpuasa dengan tidak menjamah waima setitik air pun memberi jaminan bahawa proses diet sedang berlaku sekali gus mencerahkan harapan untuk kurus.

Selepas berjam-jam lamanya menahan lapar dan dahaga, kuantiti minuman dan makanan pula didakwa boleh diambil secara berlebihan demi mengimbangi energi yang telah hilang.

Namun, semua teori dan praktik itu salah sama sekali.

Sesungguhnya, tiada jalan mudah untuk mengurangkan berat badan selain mengamalkan diet seimbang dan mengawal pemakanan.

Kepada Sihat:Aktif, beberapa pakar menjelaskan mengapa seseorang tidak mampu menurunkan berat badan meskipun 30 hari berpuasa.

Di manakah silapnya? Apakah langsung tiada peluang untuk kelihatan langsing? Semuanya dijawab oleh mereka yang bertauliah.

Berat badan naik walau berpuasa

"Aku berpuasa tetapi tak juga kurus-kurus."

Artikel Berkaitan:

Itu antara omelan yang sering terdetik dalam hati Siti Fadhlina Halipah, 28.

Masakan tidak, berat badan kira-kira 90 kilogram (kg) bertambah 10kg lagi tanpa disedarinya meskipun beliau berpuasa pada bulan Ramadan.

"Namun, setelah beberapa tahun rasa 'sesak' dan tidak selesa 'membawa' badan seberat itu, saya sedar selama ini saya silap kerana cara makan saya tak betul, saya makan apa saja.

"Sebelum ini, saya buka puasa dengan tiga hingga empat gelas air manis. Itu belum lagi dengan pelbagai hidangan kuih-muih. Memanglah badan naik melebihi daripada berat sebelum berpuasa," katanya mengimbau nostalgia pahitnya ketika memiliki berat badan kira-kira 100kg kira-kira lapan tahun lalu.

Transformasi Coach Ina selepas mengamalkan diet yang betul.
Transformasi Coach Ina selepas mengamalkan diet yang betul.

Melihat situasi yang tidak baik untuk kesihatan dalaman dan luaran, beliau nekad untuk berubah.

Masalah Siti Fadhlina itu sebenarnya seringkali melanda dalam kalangan wanita mahupun lelaki.

Imaginasi kita sering membayangkan, apabila bulan puasa, ia mampu membantu kita menurunkan berat badan. Malangnya, impian itu tinggal impian kerana apa yang berlaku menjadi sebaliknya.

Lebih menyedihkan, ada sesetengah individu terutama wanita yang telah menempah busana yang saiznya lebih kecil daripada asal.

Namun, apabila Syawal menjelma, cita-cita untuk kurus dan matlamat memakai pakaian baharu itu gagal.

Elak makan banyak

Menurut Siti Fadhlina, pengalaman beliau yang berkeinginan untuk kurus dan sihat sebenarnya telah menjadi dorongan kuat kepadanya untuk melakukan apa sahaja sehingga beliau bergelar pembimbing diet, Fitlife.

Ujar wanita itu yang juga dikenali sebagai Coach Ina, beliau mengerti perasaan kaum Hawa yang mahu kelihatan langsing dan dirinya bersedia untuk membantu sesiapa sahaja.

Kepada Sihat:Aktif, Coach Ina berkata, hasil kerja kerasnya, beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 34kg.

Beliau memberitahu, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan berat seseorang naik mencanak pada bulan puasa. Tiga perkara itu ialah:

1) Makan banyak ketika sahur

Menurut Coach Ina, ia bukan jaminan untuk seseorang berasa kenyang sepanjang sehari jika semua makanan dimakan itu tiada nilai untuk sistem tubuh.

2) Tidur semula lepas sahur

Faktor itu paling memberi kesan kepada penambahan berat badan.

3) Minum banyak air manis

Perbuatan itu hanya akan meningkatkan kadar kalori. Justeru, sebaiknya seseorang bertukar kepada air kosong sahaja.

Coach Ina yang sering berkongsi resipi dan khidmat diet secara online turut menasihatkan agar individu yang berlebihan berat badan segera mengubah tabiat lama kepada baharu yang lebih positif.

"Jika dulu kita selalu makan lewat dan tidak mengira waktu, ubahlah. Jangan cepat putus asa. Satu lagi, jangan fikir bahawa bulan puasa merupakan waktu terbaik untuk menguruskan berat badan.

"Memang puasa kita tak makan namun ketika berbuka, kita makan melebihi daripada keperluan," katanya yang mempunyai lebih 63,000 pengikut di laman Instagram dan lebih 60,000 pengikut Facebook.

Manis

Selain panduan berguna daripada Coach Ina, Sihat:Aktif turut mendapatkan jawapan terhadap soalan mengapa berat badan seseorang boleh bertambah pada Ramadan.

Pakar Pemakanan Akademi AAA Vision, Surainee Wahab menjelaskan, sepatutnya jumlah had makanan yang dimakan pada bulan puasa sama sahaja seperti hari-hari biasa.

Surainee
Surainee

"Ini disebabkan perbezaan Ramadan dan hari biasa hanya dari segi masa. Kita cuma bertukar waktu makan. Masalah paling utama yang boleh saya simpulkan kenapa berat badan kita naik hanya disebabkan makanan manis.

"Kalau pada hari biasa kita masih boleh mengawal diri dengan minum air kosong kerana tekak kita tidak terlalu haus. Namun, pada bulan Ramadan, kita lebih haus dan akan bertindak minum dua ke tiga gelas air manis," katanya baru-baru ini.

Selain air manis, kuih-muih yang tinggi kalori juga punca berat badan meningkat, ujar pakar itu.

Mengulas lanjut, Surainee berkata, sebenarnya masalah mengambil makanan dan minuman manis berlebihan had berlaku rentetan nafsu yang menguasai diri ketika membeli makanan dan minuman di bazar Ramadan.

"Dalam keadaan lapar, kita akan membeli lebih daripada jumlah makanan diperlukan. Seperkara lagi, kita akan berdepan mainan perasaan dengan menganggap 'tidak mengapa makan lebih selepas kita berpuasa seharian' dan 'tidak apa kalau ambil makanan berat walaupun pada waktu moreh selepas tarawih'. Persepsi itu salah," tegasnya.

Ujar Surainee, beliau tidak menafikan kecenderungan orang ramai yang suka makan makanan berlemak dan berkalori tinggi. Namun, semua ada peraturannya.

"Tak salah kita nak rasa semua makanan seperti kuih-muih pada bulan Ramadan. Bukankah kita ada 30 hari berpuasa? Bagi saya, apa kata, dalam sehari kita hanya makan satu jenis kuih sahaja," katanya.

Kepada satu soalan, pakar itu memberitahu, masalah pertambahan berat badan lazimnya didominasi oleh wanita.

"Apa tidaknya, wanitalah yang buat persediaan juadah sahur dan berbuka untuk keluarga. Masalahnya, apabila makanan tidak habis, wanita jugalah yang tolong habiskan kerana mereka tak mahu membazir," kongsinya.

Puasa baiki sistem tubuh

Sementara itu, Pengamal Homeopathy dan Naturopathy yang juga Pengasas Klinik Alamiah Zarraz Medicare, Dr (H) Suraya Ariffin berkata, berpuasa sebenarnya adalah cara yang sangat baik memberi peluang kepada semua sistem badan dibaik pulih.

Dr Suraya
Dr Suraya

Jelas beliau lagi, tidak semestinya seseorang yang berpuasa akan kurus. Sebaliknya, perlu memahami terlebih dahulu tentang perkaitan lemak terkumpul dengan penjanaan tenaga.

"Pada hari-hari biasa, manusia menggunakan karbohidrat sebagai sumber pembakaran tenaga. Karbohidrat berlebihan akan ditukar menjadi lemak yang dipanggil glycogen.

"Semasa berpuasa, tubuh akan menggunakan glycogen ini. Ketika tubuh tidak menerima sebarang makanan yang mengandungi gula seperti glukosa, fruktosa, sukrosa dan laktosa, ia akan membakar lemak yang tersimpan itu sebanyak-banyaknya untuk menjana tenaga.

"Namun, ketika berbuka puasa ramai yang akan makan banyak makanan manis dan bergula. Sebaik sahaja gula digunakan, maka, proses pembakaran lemak akan terhenti serta-merta. Jadi, bagaimana boleh seseorang itu menjadi kurus jika berbuka puasa dengan sumber karbohidrat dan gula ringkas yang sangat banyak dalam minuman serta kuih-muih yang manis?," soalnya.

Dr Suraya menambah, ketika berpuasa, kita tidak perlu makan banyak disebabkan 'ejen pembantu tenaga' yang digunakan adalah melalui glycogen.

"Sebenarnya puasa adalah masa untuk baik pulih sel, meningkatkan aktiviti sistem pertahanan badan, membersihkan sel-sel rosak dan berpenyakit dan memaksimumkan pengeluaran racun terkumpul dalam tubuh.

"Bagaimanapun, apabila tubuh dibebankan pula dengan pengambilan makanan yang lebih banyak daripada biasa kerana ramai menyangkakan 'mesti makan banyak sebab esok tak ada tenaga kalau tak makan', maka, sistem tubuh akan menemui kegagalan dalam tugasnya yang sebenar," katanya.

Pakar itu mengingatkan, pengambilan karbohidrat lebih daripada 50 gram sehari, secara automatik akan membatalkan metabolisme lemak yang sedang berlangsung.

Makanan tinggi karbohidrat juga punca utama kenaikan berat badan.
Makanan tinggi karbohidrat juga punca utama kenaikan berat badan.

Kesimpulannya, bagaimana untuk mendapatkan tubuh yang sihat dan langsing?

Nasihat Dr Suraya, pilihlah sayuran berserat tinggi dan buah-buahan yang tidak terlalu tinggi gulanya.

"Peratusan yang saya sarankan bagi mereka yang ingin langsing adalah diet ketogenic iaitu 10 ke 15 peratus karbohidrat, 15 ke 20 peratus protein dan 75 ke 80 peratus lemak baik.

"Bagi yang tidak obes, amalan pinggan suku-suku-separuh adalah baik. Lebihkan sayuran hijau dan minum air secukupnya bagi memberikan tubuh anda keupayaan memulihkan diri di bulan puasa ini," ujarnya.

Wajib bersenam walaupun pada bulan Ramadan

AHLI Lembaga Penasihat Pemakanan Herbalife untuk Turki, Prof Madya İsmet Tamer menjelaskan, perubahan pola makan dan tidur pada bulan Ramadan mempengaruhi jam biologi badan seseorang.

Menurutnya, disebabkan tempoh puasa yang panjang, tubuh manusia akan melambatkan proses metabolisme. Kata İsmet, jika seseorang tidak meneliti apa, bila dan berapa kuantiti makanan yang dihadam, kemungkinan besar akan mendapat kenaikan berat badan yang tinggi.

"Jika orang yang biasanya bersenam tidak mengambil langkah berjaga-jaga atau meneruskan rutin biasa semasa Ramadan, mungkin mereka akan dapat lebih banyak mudarat.

"Berpuasa dan beralih ke rutin senaman yang lebih ringan atau berhenti terus bersenam semasa Ramadan boleh menyebabkan tenaga berlebihan yang mana makanan dimakan menjadi berat tambahan. Pendek kata, kena konsisten bersenam," katanya.

Prof Ismet
Prof Ismet

Ismet menambah, sepatutnya tiada alasan untuk tidak mengekalkan rutin senaman walaupun bulan puasa kali ini cuacanya agak panas.

Beliau turut menggalakkan umat Islam yang berpuasa bersenam selepas satu atau dua jam berbuka puasa.

"Orang yang bersenam untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat perlu menggunakan tenaga mereka dengan cekap pada waktu siang dan melakukan satu atau dua jam senaman selepas iftar.

"Ini akan meningkatkan penghadaman dan membantu membakar kalori yang berlebihan," katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar kuantiti air yang diambil semasa iftar dan sahur seimbang bagi memastikan seseorang mencapai pengambilan cecair harian yang disyorkan. -AG

Senaman juga perlu dilakukan biarpun pada bulan puasa.
Senaman juga perlu dilakukan biarpun pada bulan puasa.



ANEKDOT

Tip pengambilan makanan ketika Ramadan seperti yang dikongsikan Pengerusi Makanan Indonesia PERGIZI, Prof Dr Hardinsyah:

Beberapa minggu sebelum berpuasa, orang ramai digalakkan mengurangkan jumlah makanan pada siang hari supaya perut 'tidak terkejut' pada minggu-minggu awal berpuasa.

10 hari terakhir puasa, sebenarnya banyak penurunan berat badan boleh berlaku. Malangnya, hal itu tidak berlaku kerana ramai yang menikmati makanan dengan kadar berlebihan.

9 tip turunkan berat badan ketika berpuasa:

1) Banyakkan minum air kosong.

2) Kurangkan minuman dan makanan manis.

3) Hindari makan roti dan makanan berdasarkan tepung.

4) Elakkan makanan berat selepas berbuka.

5) Jauhi makanan bergoreng.

6) Elak makan biskut ketika berpuasa.

7) Atur waktu makan dengan bijak.

8) Makan banyak buah segar.

9) Kurangkan makan makanan pedas.

Sumber: https://www.popmama.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!