Ilmu saham dari peringkat sekolah
KEPALA BATAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tanggungjawab, pencerahan dan kesedaran mengenai menabung atau penglibatan dalam saham dimulakan dari peringkat sekolah.
Justeru, satu perbincangan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperluaskan mengenai perkara itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Dengan rekod, integriti syarikat dan pengurusan baik ditunjukkan PNB, pencerahan mengenai saham dan simpanan perlu dilaksanakan bermula dengan melatih guru terpilih di sekolah.
“Berdasarkan agenda kelestarian PNB yang merupakan sebuah syarikat mempunyai rekod pengurusan baik setelah sekian lama.
“Kita tidak boleh buat andaian mereka yang menyimpan, menabung atau terlibat dalam saham itu dengan sendirinya mempunyai maklumat yang cukup,” katanya ketika Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontainers, Bertam pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang.
Menurut Anwar, kerajaan memberi jaminan kepada PNB untuk mengadakan satu perbincangan bersama KPM dan KPT bertujuan memperluaskan kesedaran menabung dan penglibatan dalam saham bermula di sekolah.
“Kita pilih guru, latih mereka dan berikan latihan daripada PNB sendiri untuk memberikan pencerahan dan tanggungjawab kesedaran tambahan di peringkat sekolah iaitu literasi saham serta pendedahan awal mengenainya.
“Saya menggesa guru supaya memanfaatkan MSAM sebagai kegiatan yang didukung sepenuhnya pihak sekolah,” katanya.
Sementara itu, Raja Arshad berkata, matlamat PNB adalah memberi inspirasi kepada semua khususnya golongan muda untuk terus menimba ilmu dan mengejar pendidikan tertinggi.
“Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’, MSAM 2023 mencerminkan usaha berterusan PNB meningkatkan kesedaran mengenai literasi kewangan dengan pendekatan menarik.
“Kedua-dua agenda MSAM 2023 ini adalah untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat dan menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ia selaras dengan visi Penang 2030 dilancarkan pada Ogos 2018 yang memberi penekanan kepada pembangunan institusi keluarga dan aspek negeri hijau serta pintar,” katanya.
Terdahulu, MSAM 2023 yang bermula pada 30 September lalu hingga 8 Oktober ini memberi fokus kepada elemen STEM yang diterapkan dalam kandungan dan ruang pameran.
MSAM 2023 memulakan perjalanan pertamanya pada tahun 2000 di Kuala Lumpur dengan 60,000 pengunjung yang mana ia menyaksikan pertumbuhan mengagumkan dalam bilangan pengunjungnya.
Sejak diadakan, MSAM menerima lebih 3.9 juta pengunjung dari kawasan bandar dan luar bandar.
MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari menampilkan gerai rakan korporat, syarikat strategik dan teras terpilih bagi membolehkan pengunjung memahami bagaimana hasil pelaburan dalam syarikat ini diperoleh serta diedarkan kepada pemegang unit dalam bentuk pengagihan pendapatan.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, perbankan, badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Pengunjung MSAM 2023 yang mendaftar melalui aplikasi ‘PNB Events App’ berpeluang memenangi hadiah bernilai hampir RM1.4 juta.
MSAM 2023 dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Pendaftaran dan perkhidmatan pengangkutan disediakan untuk pengunjung adalah percuma.
MSAM 2023 juga akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan YouTube rasmi MSAM.
Untuk maklumat lanjut, pengunjung boleh melayari laman sesawang https://www.pnb.com.my/ msam/.
-SH: PENGUNJUNG TERUJA HADIR MSAM 2023
Satu keluarga sanggup menempuh perjalanan selama satu setengah jam dari Kuala Kangsar, Perak ke Pulau Pinang semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menghadiri MSAM 2023.
Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Khalsom Abdul Samat, 47 berkata, dia bersama suami, Kamal Mihad, 57, dan tiga anak lelakinya bertolak dari rumah pada Sabtu semata-mata untuk menghadiri Karnival Literasi Kewangan Terbesar itu.
“Saya datang ke sini sejak semalam (Sabtu) dan menginap di hotel. Banyak maklumat yang saya dan keluarga peroleh, antaranya memahami pulangan pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melalui pelaburan dan sebagainya.
“Selain itu, karnival seumpama ini juga memberi pengetahuan cara menyimpan, pelaburan dan pelbagai aspek lain. Hari ini adalah hari kedua kami di sini, seronok.
“Saya harap ia akan diteruskan setiap tahun dan memperbanyakkan lagi lokasi penganjuran bagi memudahkan orang ramai menghadirinya,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Anis Farehah Ab Razak, 35, dan Abu Hanafi Mohd Razawi, 40, dari Selangor juga meluangkan masa ke negeri ini semata-mata untuk menghadiri MSAM 2023.
Kedua-duanya yang juga ahli perniagaan berkata, mereka sanggup menempuh empat jam perjalanan untuk mendapat lebih banyak maklumat disediakan sepanjang karnival.
“Semalam saya dah datang sini, tetapi lewat petang. Tak puas, jadi hari ini saya datang lagi. Alang-alang memang datang ke Pulau Pinang untuk MSAM, oleh itu, saya datang dari pagi.
“Saya memperoleh banyak maklumat terbaharu tentang ASNB dan produknya, promosi, syarikat berkaitan PNB dan banyak lagi.
“Dengan adanya karnival seperti ini, pengunjung lebih yakin dengan penerangan diberikan kerana maklumat sampai terus kepada kita. Senang nak bertanya kerana ada perbincangan dua hala,” katanya.
Pekerja swasta dari Bertam, Fariza Kassim, 33, mengakui mengetahui mengenai karnival itu melalui rakannya.
“Saya tahu melalui rakan dan alang- alang hari ini hari minggu, saya ajak suami, Abd Wafi Amer dan anak-anak datang ke sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!