BMS 2023 sasar RM220 juta deposit
Peningkatan sokongan, keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN
PETALING JAYA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Program BMS 2023 memperlihatkan kelainan penganjurannya apabila dilaksanakan secara konsep jelajah di lokasi-lokasi terpilih di 14 buah negeri di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Bertemakan ‘Robotik Ke Arah Transformasi Dunia Pendigitalan’pada masa sama mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, BMS 2023 memberi penekanan terhadap kepentingan sains dan teknologi. Konsep itu berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sempena BMS 2023 antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN Esport Challenge (PUBG Mobile), Simpan SSPN Got Talent, Robotik (Robomission), Robotik (Inovasi), Happy Hour, penampilan khas Didi & Friends serta berhibur bersama selebriti jemputan.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) mencatatkan jumlah keseluruhan deposit sebanyak RM15.81 bilion dengan bilangan 6.04 juta akaun aktif setakat 31 Ogos lalu. Jumlah itu adalah bagi tempoh 19 tahun pelaksanaan Simpan SSPN sejak diperkenalkan pada tahun 2004.
“Pencapaian deposit Simpan SSPN ini sentiasa menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun. Justeru, prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan pilihan terbaik ibu bapa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 di Sunway Pyramid Mall, Subang Jaya, di sini pada Ahad.
Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Dalam pada itu, Norliza turut menyatakan pihaknya optimis dengan peningkatan sambutan masyarakat khususnya para ibu bapa terhadap produk Simpan SSPN.
Keyakinan itu katanya dilihat berasaskan kepada prestasi penerimaan deposit Simpan SSPN yang memberangsangkan sepanjang tempoh lima tahun penganjuran BMS.
Justeru, pihaknya menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta sepanjang penganjuran BMS 2023 yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Oktober ini.
"Saya yakin sasaran ini mampu dicapai dengan sokongan serta kerjasama pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan PTPTN.
“Justeru, BMS 2023 merupakan usaha PTPTN dalam pemerkasaan penabungan bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak,” ujarnya.
Malah, kejayaan program BMS dari tahun 2018 hingga 2022 jelas beliau, turut menjadi penanda aras terbaik kepada PTPTN bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Memeriahkan lagi program itu, Cabutan BMS 2023 diteruskan pada kali ini dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM75,000 kepada 66 orang pemenang.
Sementara itu, dua pemenang cabutan Siri Wow! Syoknya Raya PTPTN, Mohd Yazeed Othman, 37, dan Machap Balaraman, 39, masing-masing tidak menyangka berjaya memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM2,023.
Mohd Yazeed ketika ditemui berkata, dia mula membuka lima akaun Simpan SSPN pada tahun lalu untuk lima orang anaknya menerusi pakej Delima (RM50 sebulan).
“Simpanan ini untuk anak-anak, sebab akan datang perbelanjaan pendidikan amat mustahak. Peluang ini amatlah baik dan harus direbut,” katanya.
Dalam pada itu, Machap yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berterima kasih kepada PTPTN kerana menyediakan Simpan SSPN Plus untuk masa depan pendidikan tiga orang anaknya.
Seorang pengunjung, Norzalilatul Akma Ibrahim, 39, berkata, dia juga telah membuka akaun Simpan SSPN untuk tiga orang anaknya, enam tahun lalu.
“Tiga anak saya berumur lapan, 10 dan 12 tahun. Jadi, tabungan ini penting untuk mereka. Malah, pelbagai faedah dan insentif disediakan apabila membuka akaun Simpan SSPN,” ujarnya.
Simpan SSPN menawarkan banyak manfaat dan keistimewaan kepada para pendeposit antaranya pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif serta pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 kepada pendeposit yang layak.
Malah, Simpan SSPN juga adalah patuh syariah manakala simpanan adalah dijamin oleh kerajaan.
Maklumat lanjut berkenaan BMS 2023, layari laman sesawang https://www.ptptn.gov.my/BMS2023/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!