Suami Noniswara, bapa mentua MK meninggal dunia
DRAMATIS Datin Seri Noniswara Baharuddin berkongsi berita duka mengenai pemergian suaminya, Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad pada malam Ahad.
Berita pemergian Allahyarham disahkan pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu menerusi hantaran di laman sosial.
"Jenazah suami saya akan dimandi dan disembahyangkan di masjid Mustaqim Ampang pada jam 8.30 pagi dan dibawa ke kampung halamannya di Kuala Krau, Temerloh untuk dikebumikan," tulisnya.
Bagaimanapun Nonis tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai punca suaminya menghembuskan nafas terakhir.
Noniswara mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan itu pada tahun 2015 menerusi perkahwinan ketiganya.
Allahyarham Sheikh Nordin juga merupakan bapa mentua kepada penyanyi MK K-Clique.
MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, berkahwin dengan anak Sheikh Nordin, Siti Hajaar pada 16 Jun lalu.
MK juga turut mengulangi beberapa hantaran ucapan takziah sejak malam tadi.
Sementara itu, penulis terkenal yang juga bekas wartawan, Syahril A Kadir turut berkongsi kebaikan Allahyarham yang gemar melakukan kerja kebajikan terutama membabitkan pengajian agama.
Allahyarham juga telah menubuhkan sebuah pusat tahfiz yang terletak di sebuah rumah agam di Temerloh.
"Takdir menentukan, makan malam kami berdua tiga bulan lalu itu jugalah nampaknya kali terakhir kami bersama.
"Datuk Seri Dr Syeikh Nordin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir malam tadi. Pada kesempatan ini marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya, diampunkan segala dosa dan silapnya.
"Semoga segala kebaikan dan pengorbanan beliau membelanjakan harta yang bukan sedikit untuk rumah tahfiz al-Quran beliau itu mendapat balasan syurga di akhirat nanti, insya-ALLAH. Saya hilang kata-kata..." kongsinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!