Bekalan beras agak kelam kabut tapi sudah mula pulih - Mat Sabu

Mohamad ketika berucap dalam Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, Bentong pada Ahad.
Mohamad ketika berucap dalam Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, Bentong pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Pembelian panik yang melebihi keperluan bulanan selain trend peralihan pengguna beras putih import kepada beras putih tempatan menjadi punca bekalan sumber makanan rutin itu terjejas di pasaran.

Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengguna yang kebiasaannya membeli beras import berdepan kenaikan harga menyebabkan mereka beralih menggunakan beras tempatan.

Menurutnya, susulan video tular kononnya bekalan beras akan habis juga telah memburukkan lagi keadaan menyebabkan orang ramai panik dan menyerbu pasar raya.

"Orang Petaling Jaya, orang Shah Alam sebelah situ mana peduli beras tempatan. Semua makan beras import. Sebab beras tempatan RM26, (beras) import baru RM32, RM34 tidak la mahal sangat dan mereka kata beras import ni elok.

"Tapi bila beras import ni naik (harga) melambung sampai RM37 ke RM40, mereka cari beras tempatan. Bila main video (tular) kata bulan depan tak ada beras, orang ramai pun serbu beli beras.

"Biasa sebulan dia beli sekampit, sekarang dia beli tiga (kampit). Bermakna dia ambil orang lain punya (keperluan) dua kampit...yang biasa beli dua kampit (sebulan), dia beli empat (kampit)," katanya dalam Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, di sini pada Ahad.

Justeru, tambah Mohamad, orang ramai nasihatkan tidak membuat pembelian panik beras putih tempatan dengan membeli beras mengikut keperluan bulanan keluarga dan tidak menyimpan stok.

Beliau juga mengakui keadaan bekalan agak kelam kabut ekoran keputusan India yang menamatkan eksport, namun kini kembali reda dengan pelan jangka panjang dan pendek yang sedang dilakukan pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan bincang dengan Perdana Menteri (hari ini) kalau sudah bersetuju semuanya, agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka membeli beras import.

"Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu jangka pendek," katanya.

Mohamad turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kini berusaha ke arah tuaian hasil padi selama lima musim untuk tempoh dua tahun dan usaha ini memerlukan tempoh beberapa tahun.

Katanya, penanaman padi akan dikembangkan lebih luas di Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!