Pelajar Victoria Institution perlu kekalkan tradisi kecemerlangan
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengingatkan para pelajar Victoria Institution perlu mengekalkan tradisi kecemerlangan yang dicapai sekolah itu sejak 130 tahun lalu.
Allaudeen yang juga bekas pelajar Victoria Institution berkata, sekolah itu mempunyai guru yang berdedikasi serta berusaha untuk melahirkan murid cemerlang.
"Hanya pelajar yang terpilih boleh belajar di sekolah ini dan saya merupakan salah seorang daripadanya.
"Pelbagai kenangan manis sepanjang tujuh tahun di Victoria Institution sejak 3 Januari 1977 dan meninggalkan sekolah itu selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1983," katanya dalam ucapan ketika menghadiri program 'Back to School' di sekolah itu pada Isnin.
Allaudeen turut berkongsi pengalamannya mendapatkan dana untuk persatuan di sekolah.
"Saya telah berjumpa dengan beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat korporat untuk meningkatkan lagi keyakinan diri serta memupuk sifat kepimpinan," katanya.
Allaudeen berkata, Victoria Institution telah melahirkan ramai cendekiawan serta pemimpin hasil komitmen dan didikan guru.
"Setiap pelajar perlu mempunyai nilai jati diri tinggi serta bekerja keras untuk menyerlah dalam akademik, sukan dan siasah diri demi memastikan tradisi sekolah kita terus terpelihara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!