Sultan Mizan rasmi program penanaman pokok di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Isnin berkenan merasmikan Program Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak, di sini.
Program yang dianjurkan melalui kerjasama antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu itu diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Mizan.
Turut hadi,r Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sebanyak 3,000 pokok pelbagai spesies ditanam di sepanjang Pantai Batu Burok hingga ke Pantai Pandak, di sini dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
Katanya, program penanaman pokok di kawasan sepanjang 11.3 kilometer (km) itu juga sejajar dengan aspirasi Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050 dan kempen penanaman 100 juta pokok di bawah program Penghijauan Malaysia.
"Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat Petronas untuk menanam satu juta pokok di seluruh negara menjelang 2027.
"Antara spesies pokok yang ditanam termasuk ketapang, rhu pantai, kelapa dan ambung-ambung yang berfungsi sebagai pencegah hakisan serta penampan daripada kemusnahan akibat bencana alam," katanya pada majlis perasmian Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Buruk Ke Pantai Pandak, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, seramai 100 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Petronas, anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan agensi kerajaan bergotong-royong menanam pokok-pokok berkenaan.
Terdahulu, pada majlis tersebut Sultan Mizan turut berkenan menyaksikan penyerahan cek sumbangan oleh Yayasan Petronas sebanyak RM297,500 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!