Jangan perlekehkan pembangunan untuk rakyat - Khairuddin
SHAH ALAM - Majlis Ulama UMNO mengkritik tindakan ahli politik yang memperlekehkan usaha pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan seperti membina kemudahan jalan bagi kesenangan rakyat.
Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa, tindakan merendah-rendahkan itu ibarat golongan berkenaan memahami Islam dengan cara yang sempit dan dangkal, serta mereka melihat penambahbaikan jalan untuk memudahkan rakyat adalah perkara kecil.
“Barangkali mereka melihat Islam hanya pada menegakkan hukum semata-mata seperti hukum ibadat, munakahat, muamalat dan jenayah lalu memperkecilkan usaha ini untuk orang ramai.
“Dengan menyediakan kesenangan kepada rakyat, ia adalah sebahagian amanah besar dan menjadi tanggungjawab orang yang berkuasa untuk membantu masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah Khairuddin, kerajaan menyediakan kemudahan berkenaan kerana ia dapat membantu menyelesaikan pelbagai aktiviti kehidupan orang ramai bermula dengan ibadah, muamalat dan bersosial.
“Tidakkah besar pahala yang diperolehi oleh pemerintah yang melaksanakan tanggungjawab ini dan ia memberikan pahala yang berpanjangan di akhirat.
“Jalan yang dibina boleh memendekkan dan memudahkan perjalanan sehingga orang ramai boleh berjalan dengan aman, selamat, tenteram dan selesa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!