Kes bunuh tiga lelaki Sri Lanka: Lapan suspek ditahan

Allaudeen - Foto Bernama
Allaudeen - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan lapan suspek berhubung kes pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka di sebuah rumah sewa di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul di sini, pada 22 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tangkapan itu termasuk dua suspek utama yang diburu.

“Dua suspek yang ditahan pada hari kejadian iaitu sepasang suami isteri, telah disambung reman sehingga 5 Oktober ini, selepas tempoh reman mereka berakhir 29 September lalu.

“Bagaimanapun, suspek lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan pada Sabtu lalu, ini menjadi baki tujuh suspek masih direman untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program 'Back To School' di sekolah Victoria Institution di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, empat lagi suspek ditahan terdiri daripada tiga lelaki Sri Lanka dan seorang lelaki Pakistan di sebuah rumah di Petaling Jaya, pada minggu lalu.

“Mereka ini dipercayai bersubahat melindungi dua suspek utama. Hasil soal siasat ke atas mereka akhirnya membawa penahanan dua suspek yang diburu pada Isnin lalu.

“Tempoh reman ke atas mereka tamat pada hari ini dan pihak polis akan membuat permohonan untuk menyambung reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Mengenai motif pembunuhan, Allaudeen berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 11 malam itu, polis menemui mayat ketiga-tiga mangsa di rumah kedai empat tingkat di Jalan Perhentian, Kampung Kovil, Sentul.

Polis menerima aduan orang awam yang mendengar jeritan dan bunyi bising, disyaki berlakunya pergaduhan.

Polis kemudian menemui tiga mayat dalam keadaan bertindan, dengan seorang daripadanya adalah pasangan suami isteri warga Sri Lanka yang direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata, kertas siasatan kes dijangka siap pada minggu ini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan membabitkan suspek yang berusia 43 tahun yang meninggal dunia itu sudah berada di peringkat akhir, ia tidak akan menjejaskan siasatan. Kita jangka siasatan selesai minggu ini.

“Siasatan berhubung kematian itu diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!