23 PATI ditahan sekitar Melaka Sentral

Warga asing yang tidak memiliki permit perjalanan yang sah dibawa menaiki lori Jabatan Imigresen untuk pemeriksaan lanjut.
Warga asing yang tidak memiliki permit perjalanan yang sah dibawa menaiki lori Jabatan Imigresen untuk pemeriksaan lanjut.
A
A
A

MELAKA - Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Bersepadu Bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sekitar Terminal Bas Melaka Sentral, di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi bermula jam 2.30 hingga 5 petang disertai seramai 23 anggota dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka, 21 anggota Penguatkuasa MBMB dan lima anggota polis.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki warga Myanmar dan tujuh lelaki warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 40 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c ) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 15(4) akta yang sama.

"Semasa pemeriksaan terdapat lebih kurang tujuh hingga lapan warga asing cuba melarikan diri kerana mengelak dari diperiksa, namun dapat ditangkap oleh anggota operasi.

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam ops bersepadu sekitar Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, pada Ahad.
Sebahagian warga asing yang ditahan dalam ops bersepadu sekitar Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, pada Ahad.

"Pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan di lot-lot kedai yang terdapat dalam kawasan premis perniagaan dan kawasan sekitar Melaka Sentral," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Sinar Harian pada 13 September lalu melaporkan kebanjiran warga asing termasuk Bangladesh dan Myanmar di kawasan Plaza Melaka Sentral, Peringgit, di sini merisaukan orang awam terutama pada hujung minggu.

Tinjauan mendapati terdapat empat kedai runcit yang diuruskan warga Bangladesh dan dua kedai runcit dipercayai dijaga oleh warga Myanmar yang turut mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 199 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 102 orang merupakan warga Myanmar, 68 orang warga Bangladesh, 17 orang warga Nepal, sembilan warga Indonesia dan tiga warga Pakistan.

"Daripada jumlah itu juga, seramai 115 orang warga asing dibebaskan di tempat kejadian kerana mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah dan teratur.

"Seramai 81 warga asing dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka untuk pemeriksaan lanjut, namun 51 daripadanya turut dibebaskan.

"Mereka yang diperiksa termasuk pekerja di lot-lot kedai, ada juga yang sedang membeli belah dan berjalan-jalan di kawasan serbuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!