Jerebu: Negeri Sembilan siap siaga berdepan peningkatan IPU

Aminuddin (dua dari kiri) ketika meninjau sekitar Program MyPride Fair di Seremban 2.
Aminuddin (dua dari kiri) ketika meninjau sekitar Program MyPride Fair di Seremban 2.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terutama di dua kawasan di negeri ini yang mencatatkan bacaan tidak sihat akibat jerebu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini pihaknya sedang memantau keadaan cuaca sebelum sebarang tindakan susulan dilaksanakan.

"Kita lihat dalam tiga empat hari ini jerebu telah mula datang tetapi di Negeri Sembilan masih terkawal sedikit. Kita akan pantau, lihat daripada masa ke masa secara dekat bagi memastikan apakah tindakan dan arahan yang kita laksanakan (nanti).

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya jaga kesihatan terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan pernafasan, banyakkan minum air, kurangkan berada di kawasan terbuka termasuklah mengelakkan menjalankan aktiviti luar dalam tempoh yang panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MyPride Fair peringkat zon tengah tahun 2023, Jabatan Penjara Malaysia di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral (Keselamatan & Koreksional), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keperluan pemakaian pelitup muka, Aminuddin berkata, ia digalakkan selain mahu orang ramai mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca jerebu.

"Kita berharap jerebu ini tidak berpanjangan terutama kawasan Nilai dan Port Dickson yang mencatat IPU agak tinggi sebab berhampiran dengan Indonesia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 12 tengah hari Isnin, kawasan Nilai mencatatkan IPU dengan bacaan 136 dan Port Dickson 128, ia menunjukkan tahap pencemaran udara tidak sihat dipercayai akibat jerebu rentas sempadan dari Indonesia.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan sedang melaksanakan program Jom Hijrah selaras dengan komitmen kerajaan Negeri Sembilan dalam bersama-sama membantu Jabatan Penjara Malaysia ke arah melaksanakan inisiatif 'Restorative Justice'.

"Program ini adalah melibatkan persediaan untuk membantu, menyokong dan mengekalkan kepulihan pesalah apabila dibebaskan," katanya.

Program MyPride Fair merupakan satu inisiatif Jabatan Penjara Malaysia untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk vokasional serta industri yang dihasilkan sendiri oleh penghuni penjara yang sedang mengikuti Program Pemulihan Fasa III (Program Kemahiran) di Penjara Negeri Selangor dan Penjara Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!