Lelaki tikam wanita di kedai dobi diberkas

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lelaki yang disyaki menikam seorang wanita dengan menggunakan senjata tajam dipercayai gunting di kedai dobi layan diri di Kuala Nerus pada Sabtu lepas, berjaya diberkas polis pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, suspek yang juga seorang penganggur berusia 25 tahun itu ditahan di Kampung Mengabang Telipot, sekitar jam 3.30 petang semalam.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 akta sama.

"Melalui siasatan awal kedua-dua mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan mangsa yang berusia 31 tahun dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah serta berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi.

Dilapor pada Sabtu lepas seorang wanita ditikam di belakang badannya oleh seorang lelaki menggunakan senjata tajam dipercayai gunting, di dalam sebuah kedai dobi layan diri berhampiran Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir dekat Kuala Nerus.

Turut tular di media sosial, video rakaman kejadian tersebut melalui litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang memaparkan suspek meluru masuk lalu menikam mangsa sebelum melarikan diri. - Bernama

Artikel Berkaitan: