Tempoh perkhidmatan AJK masjid di Terengganu dilanjutkan
KUALA TERENGGANU - Tempoh perkhidmatan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dilantik bagi sesi lalu di Terengganu dilanjutkan tiga bulan lagi.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia disebabkan proses pemilihan yang terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor termasuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos lalu.
Menurutnya, berdasarkan tempoh ditetapkan, pelantikan jawatankuasa masjid bagi sesi sebelum ini sepatutnya berakhir pada 30 September lalu.
"Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) telah berkenan untuk melanjutkan sehingga tiga bulan lagi tempoh perkhidmatan jawatankuasa sedia ada di masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini.
"Proses lantikan 16 individu bagi jawatankuasa baharu masjid akan datang melibatkan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun iaitu bermula 1 Januari 2024 hingga 1 Disember 2026," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, terdapat beberapa penambahbaikan bagi proses pentadbiran masjid bagi sesi baharu itu antaranya melibatkan syarat lantikan serta corak kepimpinan baharu.
"Kita minta dalam 16 AJK yang dilantik ini, 10 orang dilantik oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) manakala selebihnya dipilih oleh anak mukim yang dilantik oleh Pesuruhjaya JHEAT.
"Lantikan kali ini lebih terbuka malah imam dan bilal juga boleh termasuk dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran masjid sekiranya mereka mempunyai bakat untuk memimpin," katanya.
Shaikh Harun memberitahu, peranan golongan wanita dan orang muda dilihat penting bagi mengimarahkan sesebuah masjid.
"Dalam kumpulan enam orang AJK yang dilantik itu, sekurang-kurangnya dua daripada mereka terdiri dalam kalangan wanita dan dua belia berusia 18 hingga 40 tahun (golongan muda).
"Kita mahu masjid ini diimarahkan oleh seberapa ramai orang terutama oleh golongan muda. Kita mahukan perubahan untuk melihat masjid mula dipimpin dan ditadbir oleh golongan muda selepas ini," ujarnya.
Berdasarkan rekod, setakat ini terdapat 510 buah masjid dan lebih 2,000 buah surau di Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!