PM setuju empat langkah intervensi tambahan tangani isu beras - Mohamad

Gambar kecil: Mohamad
Gambar kecil: Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.

"Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Mohamad berkata, langkah intervensi itu dipersetujui Perdana Menteri dalam pertemuan yang diadakan bersama beliau hari ini.

Bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Oktober, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terhad.

Mohamad berkata semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM 3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50 kg tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.

"Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan beras putih tempatan. Sehubungan itu, kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan beras putih import," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya telah melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) pada hari ini yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

"OP BPT ini akan melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

"Melalui OP BPT ini, kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh rantaian industri termasuk semua kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong beras mulai esok. Sampel beras juga akan diambil di semua kilang dan pemborong beras serta di pasar raya untuk dibuat analisis kimia," katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import atau menyorokkan beras putih tempatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membuat pembelian panik, kekal bertenang dan membeli beras mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing.

"Bila berlaku pembelian segera, sebagai contoh, orang di Lembah Klang selalunya mereka suka membeli beras import berbanding dengan beras tempatan, tetapi bila ada kenaikan harga beras import sehingga RM37 dan RM38 mereka berubah kepada beras tempatan.

"Sebenarnya jumlah beras yang berada di Malaysia ini tidak kurang, cuma harga beras import itu naik secara mendadak," katanya.

Semasa ditanya mengenai perkembangan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan India melibatkan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani negara itu, beliau berkata, segala permintaan Malaysia akan dijawab pada minggu ini.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menghubungi Perdana Menteri India Narendra Modi... hubungan kita dengan India amat baik sekali. Insya-Allah kita akan dapat keputusan yang baik pada minggu ini," katanya.

Sebelum ini, Mohamad berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan India bagi membincangkan mengenai sekatan eksport bekalan beras putih dari negara berkenaan dengan harga berpatutan secara kerajaan dengan kerajaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!