Kos haji dijangka naik 11 peratus tahun depan - TH
KUALA LUMPUR - Kos bagi menunaikan ibadah haji tahun depan dianggarkan meningkat mencecah 11 peratus berbanding tahun ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, peningkatan ketara itu berpunca daripada situasi semasa ekonomi pasca pandemik Covid-19.
"Memang berlaku kenaikan bagi kos haji sekitar lima hingga enam peratus setiap tahun untuk jangka panjang iaitu dalam tempoh 10 tahun.
“Namun disebabkan pandemik Covid-19, kenaikan itu dianggarkan menjadi dua kali ganda (11 peratus) susulan peningkatan kadar inflasi, situasi mata wang semasa malah Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sekitar lima hingga enam peratus," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M, Kompleks TH, di sini pada Isnin.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Tambah Azman, Kerajaan Arab Saudi juga melakukan perubahan pada sistem mereka termasuk bagi permohonan visa secara tidak langsung mempengaruhi kos ibadah haji.
Berikutan itu, menurut Mohd Na'im, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi mengurangkan beban jemaah golongan B40 dan M40.
"Sebanyak RM265 juta telah diberikan pada musim lalu, Insya-ALLAH kita akan meneruskan bantuan berkenaan kepada bakal jemaah yang memerlukan.
"Bantuan secara bersasar ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban
tanggungan TH yang terlalu tinggi keran perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir sembilan juta pendepositnya," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru bakal jemaah haji akan datang yang memenuhi konsep ‘Istito’ah’ atau berkemampuan atas kesedaran ini untuk membuat bayaran penuh kos haji bagi membolehkan TH menumpukan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.
"Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji bukan sahaja menghayati konsep Istito’ah tetapi akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!