Bahang NSL kian dirasai
BAHANG saingan musim baharu Netball Super League (NSL) 2023 kian dirasai menjelang aksi pertama yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula 13 Oktober hingga 5 November ini.
Saingan selama empat minggu itu menyaksikan lapan pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pendatang baharu Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites akan turun beraksi mengintai mahkota kejuaraan bagi edisi ketiga kali ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria melihat inisiatif Astro dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menganjurkan NSL itu selaras dengan usaha kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk melestarikan pembangunan sukan buat kaum hawa ini.
“MOM melihat inisiatif Astro dan PBJM menganjurkan NSL sejajar dengan cita-cita keluarga sukan negara untuk menjalin kerjasama erat dengan organisasi media serta stesen penyiar sebagai satu usaha mengkomersialkan sesuatu sukan.
“Menerusi NSL 2023 ini juga, Astro membantu keluarga sukan tempatan mempromosi nilai-nilai murni dalam pergerakan olimpik yang memperjuangkan hak sama rata atlet tanpa mengira jantina.
“Usahasama di antara PBJM dan Astro wajar diberi pujian bukan sahaja dalam memacu penglibatan wanita dalam sukan prestasi tinggi tetapi juga memastikan kesaksamaan gender diperkasakan dalam memartabatkan bola jaring sebagai sukan berprofil tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan NSL di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara pada Isnin.
Turut hadir Presiden PBJM, Alwiyah Talib, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John dan Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin serta barisan penaja.
Dalam pada itu, Alwiyah pula melahirkan rasa teruja apabila persaingan akan bertambah dramatik dan rancak dengan kehadiran 11 pemain import dari tujuh negara iaitu Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kindom, Thailand, Brunei dan Sri Lanka pada musim ini.
“Musim lalu menyaksikan dua pemain import dari Johor Jewels dan kini kelibat pemain import dari pasukan-pasukan lain seperti KL Wildcats, Putrajaya Dynamites, Perak Phoenix dan Negeri Sembilan Venom sebagai ‘penambah rencah’ NSL musim ini.
“Selain itu, rombakan besar-besaran pemain-pemain dari setiap pasukan terutama KL Wilcats serta kehadiran dua pasukan baharu Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamite tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan mereka memiliki ramai pemain bintang yang pasti memberikan tentangan sengit,” katanya.
Sementara itu, Nicholas berkata, Astro sentiasa komited dalam membantu meningkatkan lagi mutu sukan negara dan melalui NSL penambahbaikan sentiasa akan dilakukan setiap musim bagi menaikkan nilai komersial dan jenama NSL hingga ke persada sukan serantau dan antarabangsa.
“NSL menerima sambutan hangat peminat apabila telah mencatat peningkatan hampir 35 peratus berbanding musim lalu di mana 3.5 juta tontonan berjaya dicatat di Astro Arena.
"Ini juga terbukti di platform digital, Astro GO dengan mencatat 1.7 juta tontonan menyaksikan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Selain itu, interaksi dan peningkatan penggunaan di media sosial pula meningkat sehingga satu juta kadar penglibatan di Instagram, Twitter, Facebook dan Tiktok," katanya.
Katanya, dengan kehadiran pemain import bukan hanya memberi impak positif terhadap mutu permainan, malah akan menarik lebih ramai peminat baharu dan penonton untuk menyaksikan aksi-aksi terbaik di NSL.
"Buat julung kalinya, NSL akan menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih ini nanti akan disiarkan di W-Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris.
“Saluran ini memfokuskan pada kandungan sukan wanita dan disiarkan di 30 negara. Biarpun perjalanan NSL baru dan masih panjang, namun saya yakin liga berprestij ini mampu menjadi AHfenomena yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mengharapkan lebih banyak badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini.
“Pada tahun ini menyaksikan jenama pakaian tempatan, Elite menjadi penaja pakaian rasmi NSL, tudung rasmi iaitu dari Tudong DNA dan jenama sukan tempatan, Figos tampil sebagai penaja bola rasmi.
"Buat pertama kali juga Sinar Harian menjadi Rakan Media Rasmi dan Era kekal sebagai Radio Rasmi NSL 2022,” ujar Nicholas.
Astro turut mengambil inisiatif untuk mengadakan Klinik NSL yang akan dikendalikan oleh pemain-pemain NSL yang juga pemain kebangsaan di sekolah-sekolah terpilih bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat pelajar-pelajar mempelajari asas-asas sukan bola jaring dari peringkat akar umbi.
Selain itu, Astro Rewards – program kesetiaan pelanggan Astro pula menawarkan lebih 900 tiket percuma sepanjang NSL berlangsung. Tawaran ini boleh didapati dengan menyertai peraduan di aplikasi My Astro.
Peminat boleh mula membeli tiket di www.tickethotline.com.my pada 9 Oktober untuk menyaksikan NSL 2023 di Stadium Juara setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 13 Oktober hingga 5 November ini atau semua pelangan Astro boleh menonton di Astro Arena (Saluran 801).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!