Mahmood Razak CEO baharu Puspakom
SHAH ALAM - Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengumumkan pelantikan Mahmood Razak Bahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Oktober.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Mahmood menggantikan Shukor Ismail yang bersara pada 30 September lalu selepas 11 tahun menerajui syarikat itu.
Sebelum ini Mahmood merupakan Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan di DRB-HICOM Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Puspakom.
"Beliau membawa bersama pengalaman luas dalam pelbagai industri, termasuk minyak dan gas, barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) dan pembangunan pengangkutan awam.
"Antara tahun 2008 dan 2016, Mahmood memegang jawatan pengurusan atasan di organisasi terkemuka seperti Sime Darby Plantation Berhad, salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia, dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, pembangun dan pemilik aset Projek MRT Lembah Klang, di mana jawatan terakhirnya adalah Pengarah Operasi dan Pengurusan Aset.
"Sebelum masuk ke sektor korporat pada 2008, Mahmood berada di industri media penyiaran di mana beliau pernah berkhidmat di NTV7, Bloomberg TV Malaysia, Astro News dan Astro Awani dalam pelbagai jawatan termasuk wartawan, pembaca berita, editor dan penerbit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu Abdul Hamid berkata, pihaknya yakin terhadap kemampuan Mahmood untuk membawa syarikat berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.
Pada masa sama beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Shukor atas sumbangan tidak ternilai dalam meneraju pertumbuhan Puspakom sejak pelantikannya pada 2012.
"Shukor memainkan peranan yang penting dalam membentuk Puspakom selama lebih dari satu dekad. Di bawah kepemimpinannya, Puspakom mencapai kejayaan seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.
"Sumbangan beliau termasuklah pengenalan MyPuspakom, sistem janji temu dan pembayaran dalam talian yang banyak memberi kemudahan kepada pelanggan.
"Di Puspakom, beliau juga memperkenalkan pelaksanaan transaksi tanpa tunai dan tanpa kertas serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!