TH tubuh jawatankuasa khas bincang serah aset MOF
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan secara terperinci dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung proses penyerahan semula aset.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebarang bentuk perbincangan yang dijalankan nanti akan memastikan kepentingan kerajaan dan pendeposit Tabung Haji diutamakan.
"TH dan MOF telah memulakan perbincangan tidak rasmi pada Jumaat lepas. Institusi ini akan bentuk jawatankuasa khas jadi mereka akan kenal pasti aset-aset tersebut dan menilai semua perkara.
"Saya percaya bahagian pelaburan TH akan memainkan peranan penting dalam perbincangan ini," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1444H/2023M, Kompleks TH, di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset TH yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan pada 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal dan melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!