Munirah maut akibat luka tikaman hingga ke hati, pembuluh darah
KANGAR - Hasil bedah siasat ke atas jururawat yang maut ditikam suaminya di kediaman mereka di Padang Nyu, Arau pada Sabtu mendapati kematiannya disebabkan luka tikaman hingga ke hati dan bahagian dalaman pembuluh darah.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Mohd Rodi berkata, maklumat tersebut berdasarkan proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
"Berdasarkan keputusan autopsi yang dibuat di HSB, mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, maut akibat mengalami luka tikaman hingga ke hati serta dalaman pembuluh darah (vena kava) atau 'stab wounds to the liver and inferior vena cava'.
"Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh hasil proses bedah siasat tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Jelas Ahmad Mohsin, polis setakat ini melihat tiada keperluan untuk pihaknya melakukan penilaian psikiatri terhadap suspek yang merupakan suami mangsa.
Menurutnya, hasil urin sebelum ini telah mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine ketika kejadian berlaku.
"Pengaruh dadah bukanlah dikatakan penyebab kepada kejadian, namun semasa saringan ujian air kencing suspek dilakukan, kita mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," ujarnya.
Pada Ahad, Mahkamah Majistret Kangar telah membenarkan reman ke atas suspek sehingga 7 Oktober hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!