Sistem SGW pada lampu isyarat diperluas di Melaka
ALOR GAJAH - Kerajaan Melaka akan meluaskan pemasangan lampu isyarat menggunakan teknologi sistem 'Synchronize Green Wave' (SGW) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) secara berperingkat sebagai usaha penyuraian trafik di negeri ini terutama pada waktu puncak termasuk cuti sekolah dan hujung minggu.
Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, sistem yang diselia dan dipantau yang membabitkan kos RM250,000 itu akan dipertingkatkan selepas pemasangan fasa pertama di persimpangan bertingkat Ayer Keroh dan persimpangan Padang Jambu berjaya menurunkan sehingga 60 peratus tempoh penjimatan masa perjalanan.
"Pemasangan SGW fasa kedua akan dilaksanakan di pintu masuk kedua Melaka di Simpang Ampat, sebelum melaksanakannya bagi fasa seterusnya di beberapa lokasi lain termasuk di Bukit Palah (Persimpangan Masjid Al-Azim).
"Ia dilihat memberi impak positif dan mampu menjimatkan 60 peratus masa perjalanan. Sekiranya jumlah peruntukan dapat ditingkatkan ia akan berterusan digunakan kerana memberi kesan besar dalam mengurangkan masalah lalu lintas di negeri ini," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Syaidina Umar Al-Khattab, Lendu di sini petang semalam.
Menurutnya, perlaksanaan inisiatif tersebut bukan sahaja ditumpukan pada pintu masuk negeri ini namun ia diperluaskan ke kawasan tumpuan utama bagi mengatasi masalah sama.
"Kita akan laksanakan di jalan utama peringkat negeri seperti di persimpangan hadapan Masjid Al- Azim, persimpangan Semabok serta pelbagai lagi jalan yang perlu. Sistem ini menghubungkan dengan bilik kawalan jadi kita akan tingkatkan mutu bilik ini kerana perlaksanaannya baik walaupun baru diperkenalkan tahun lalu.
"Melaka juga bakal menggunakan sistem lampu isyarat dengan teknologi pintar yang disertakan pemasangan kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang mampu memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!