Alunan muzik orkestra buai Baladewa, Baladewi
KELAINAN yang ditampilkan kumpulan muzik popular Indonesia, Dewa 19 bergabung dengan muzik orkestra berjaya mencipta satu momen baharu bersama peminat setia mereka.
Menerusi Dewa 19: A Night at The Orchestra - Chapter 5 (Live in Malaysia) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lalu, seramai 54 pemuzik orkestra dari Malaysia telah mengiringi persembahan Ahmad Dhani bersama anggota Dewa 19 yang lain termasuk Ari Lasso.
Pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani mengakui kehebatan kumpulan orkestra yang mengiringi persembahan mereka pada malam itu.
"Beri tepukan buat 54 pemuzik, semuanya anak muda Malaysia," katanya sebaik memulakan persembahan pada jam 8.50 malam dengan lagu Bohemian Rhapsody.
Kehadiran penyanyi undangan iaitu Shila Amzah, Jaclyn Victor dan Amir Masdi juga berjaya merancakkan lagi momentum konsert.
Malah ada penonton mengakui berasa cukup terpukau dengan kekuatan vokal Amir ketika berduet dengan Ello menerusi lagu Bohemian Rhapsody.
Pentas kemudian dimalapkan sebelum vokalis Ello muncul dengan lagu Arjuna, Elang dan Sudah sekali gus menaikkan adrenalin peminat yang kelihatan cukup teruja.
Tidak berakhir di situ, Dewa 19 terus menghiburkan kira-kira 7,000 peminat yang hadir memakai baju tradisional seperti disarankan penganjur, Icon Entertainment dengan alunan mewah muzik orkestra seperti lagu Pupus, Pangeran Cinta, Dewi, Risalah Hati dan Selimut Hati menerusi kelantangan vokal Virzha.
"Saya secara peribadi jatuh cinta dengan Kuala Lumpur malam ini, ayuh kita bersama-sama berhibur supaya malam ini menjadi saksi Dewa 19 berjaya menakluk risalah hati anda," kata Virzha yang memikat hati penonton apabila dia cuba bercakap dalam 'telo' orang Malaysia.
Gelaran 'otai masih berbisa' boleh diberikan buat vokalis asal Dewa 19, Ari Lasso apabila kemunculannya nyata dinantikan ramai menerusi lagu hits seperti Satu, Roman Picisan, Dua Sejoli dan Separuh Nafas.
Ahmad Dhani yang merupakan 'brain' kepada Dewa 19 tidak ketinggalan tampil dengan persembahan solo menerusi lagu Sedang Ingin Bercinta, My Way, Madu Tiga dan Hadapi Dengan Senyuman.
Secara keseluruhannya, apa yang dapat disimpulkan konsert kali ini dapat mengubati kerinduan peminat selepas Dewa 19 hadir mengadakan persembahan di lokasi sama pada 10 dan 11 September tahun lalu.
Bagaimanapun ketiadaan Once dilihat 'kurang rencah' dan sedikit merencatkan perjalanan muzikal Dewa 19 yang merupakan antara band legend Indonesia dan berjaya memikat hati para Baladewa serta Baladewi (panggilan buat peminat mereka) di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!