Pertubuhan, persatuan langgar undang-undang berdepan tindakan - RoS

Mohd Nawardi (berdiri tengah, barisan belakang) bersama wakil penerima geran GPPK pada Program Memperkasa Tadbir Urus Keselamatan Komuniti Negeri Selangor pada Isnin
Mohd Nawardi (berdiri tengah, barisan belakang) bersama wakil penerima geran GPPK pada Program Memperkasa Tadbir Urus Keselamatan Komuniti Negeri Selangor pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan atau pertubuhan berdaftar yang melakukan aktiviti melangkaui perlembagaan pertubuhan berkenaan atau melanggar undang-undang sedia ada akan dibatalkan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, tindakan yang dilakukan RoS itu bertujuan bagi memastikan semua pertubuhan bergerak selaras dengan objektif penubuhan serta perlembagaan.

Beliau memaklumkan pada tahun ini RoS menyasarkan untuk melaksanakan aktiviti pemeriksaan terhadap 1,000 pertubuhan yang merangkumi kategori keagamaan, rekreasi, kebajikan dan sosial di seluruh negara.

"Sehingga Ogos, sebanyak 981 pertubuhan telah pun dibuat pemeriksaan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 29.9 peratus pertubuhan didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan.

"Saya ingin ingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemegang jawatan untuk terus patuh kepada perlembagaan pertubuhan, Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984.

"Ini bagi mengelakkan pertubuhan dibatalkan sekali gus memberi kesan kepada individu kerana akan disenarai hitam daripada memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan lain selain politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Memperkasa Tadbir Urus Keselamatan Komuniti Negeri Selangor di Hotel Mardhiyah Shah Alam di sini pada Isnin.

Mohd Nawardi menambah sebanyak 189,605 pertubuhan berdaftar di bawah RoS terdiri daripada 97,975 pertubuhan parti politik (69 induk, 97,906 cawangan) dan 91,630 pertubuhan bukan politik yang merangkumi 81,204 pertubuhan induk dan 10,426 adalah cawangan sehingga 30 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, sebanyak 1,635 permohonan untuk permohonan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) turut diterima sehingga 27 September dan 1,016 pertubuhan diluluskan pemberian geran ini manakala 106 permohonan tidak berjaya dan selebihnya masih diperingkat saringan dan tindakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!