Masyarakat perlu rasional dalam perjuangkan hak: KPN

Abdul Hamid (kiri) bersalaman dengan Alwi dengan disaksikan Mazlan selepas selesai Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di MES Pegawai Kanan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Abdul Hamid (kiri) bersalaman dengan Alwi dengan disaksikan Mazlan selepas selesai Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di MES Pegawai Kanan di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menyeru masyarakat untuk rasional, memahami serta sensitif dalam apa juga isu bagi mengelakkan timbul situasi yang mencetuskan provokasi, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, apa juga tindakan untuk memperjuangkan hak masing-masing baik dari segi kaum, agama atau perkara lain haruslah dalam kesederhanaan.

"Mana-mana individu atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu sensitif dengan setiap perkara yang disampaikan untuk elak provokasi terhadap individu yang radikal atau ekstrem.

"Kita haruslah sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan di dalam negara yang mana kita faham antara satu sama lain," katanya dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini, selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Malaysia.

Dalam majlis tersebut menyaksikan Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, manakala isterinya, Datin Farihah Mohd Zamri dilantik sebagai Naib Pengerusi Perkep Malaysia

Majlis ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya tetap tegas mengambil tindakan tanpa menyebelahi mana-mana pihak terhadap semua bentuk unsur ekstremis dan keganasan tanpa mengira latar belakang agama, politik serta kaum.

Tambahnya, Malaysia adalah negara yang cukup cantik dan kaya. Ramai orang berebut-rebut datang ke sini untuk cari rezeki, tetapi masyarakat kita sibuk berbalah sesama sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Masih ada juga manusia tidak bertanggungjawab masih memainkan isu sensitif. Sayang, negara begitu cantik, sama-sama kita gabungkan kekuatannya," katanya.

Semalam, dalam satu kenyataan, Hindraf menghargai kejayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mematahkan serangan pengganas dan pembunuhan baru-baru ini, namun pada masa yang sama ia juga mahu Ketua Polis Negara memberi pertimbangan menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Penasihat undang-undang Hindraf, Karthig Shan berkata, perkara yang membimbangkan ialah pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan kononnya mereka gagal menyemangati Islam dan mempersendakan agama itu.

Terdahulu, Abdul Hamid dalam satu sidang media memaklumkan polis telah menahan empat orang disyaki menjalani aktiviti pengganas. Keempat-empat mereka dipercayai adalah anggota Daesh, dikatakan merancang untuk melakukan serangan pengganas ke tempat-tempat sembahyang bukan Islam dan akan menuntut pembelaan di atas kematian Muhammad Adib semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!