2023 tahun cemerlang SPRM, terus tingkat keupayaan - Azam

Azam (depan: tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama pegawai dan kakitangan SPRM sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-56 di Putrajaya pada Isnin.
Azam (depan: tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama pegawai dan kakitangan SPRM sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-56 di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan pencapaian sepanjang tahun ini sebagai satu kejayaan sangat memberangsangkan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM merekodkan prestasi sangat memberangsangkan menerusi tindakan proaktif melaksanakan pelbagai operasi, tangkapan serta pertuduhan.

Jelas beliau, ia termasuk pertuduhan melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang dihadapi.

"Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2023, sebanyak 776 kertas siasatan dibuka dengan 869 tangkapan.

"Selain itu, sebanyak 326 pertuduhan bagi pelbagai kesalahan telah dipertuduhkan di mahkamah," katanya dalam ucapan sempena ulang tahun SPRM ke-56 pada Isnin.

Azam menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-56 di Putrajaya pada Isnin.
Azam menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-56 di Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.

Mengulas lanjut, Azam berkata, statistik pelucuthakan dan pemulihan aset menunjukkan rekod yang sangat cemerlang pada tahun ini dengan nilai pelucutan harta sebanyak RM12.89 juta dan kompaun berjumlah RM4 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya dikira sejak 2018 hingga sekarang, jumlah keseluruhan pelucuthakan harta dan penalti yang direkodkan SPRM berjumlah RM29.37 bilion.

Kata beliau, pencapaian cemerlang itu dicapai menerusi strategi SPRM mengurangkan ketirisan di tiga sektor iaitu rasuah di sektor penguatkuasaan, perolehan dan 'grand corruption'.

Malah menurut beliau, perubahan kaedah penyiasatan turut dilaksanakan SPRM kepada 'intelligence base investigation' yang telah membuahkan hasil.

Tegasnya, SPRM tidak lagi bersandarkan kepada kaedah reactive semata-mata.

Jelasnya, perubahan kepada landskap politik, ekonomi dan sosio budaya masyarakat harus menjadi keprihatinan warga SPRM.

"Kita tidak boleh di takuk lama dengan mendabik dada bahawa kononnya kita adalah the best atau kaedah kita ini tiada perlu perubahan.

"Orang lama tidak boleh mengatakan cara lama berkesan dan orang baharu pula perlu mempelajari orang lama dan meneroka kepada perubahan," ujarnya.

Azam (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama pertandingan nyanyian lagu patriotik yang diwakili oleh Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.
Azam (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama pertandingan nyanyian lagu patriotik yang diwakili oleh Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Azam berkata, dalam menghadapi cabaran terkini di zaman digitalisasi, kaedah perisikan yang lebih berteknologi perlu diterokai.

Sebagai contoh katanya, jika dahulu SPRM lebih kepada human surveillance, namun suruhanjaya itu telah mempunyai teknologi untuk mengesan suspek secara lebih bersistematik dan berstrategi.

Beliau berkata, kaedah analisis data yang ada dalam perisikan amat dituntut, seterusnya mempertingkatkan kemahiran pegawai-pegawai perisik bersesuaian dengan teknologi terkini.

Selain itu tegas beliau, bagi membanteras ketirisan, SPRM akan memfokuskan kes-kes skala besar dan kepentingan ramai.

"Penjenayah-penjenayah yang mencuri atau menghilangkan hasil kerajaan dan mereka yang ada kuasa menyalahguna kuasa perlu dihukum, sehinggakan mereka kita bangkrapkan supaya harta negara dikembalikan.

"Sehubungan itu, kaedah penyiasatan yang berbentuk Financial crime perlu dipergiatkan dan pegawai-pegawai SPRM perlu memahami undang-undang jenayah serta menggunakan kaedah penyiasatan yang lebih bersistematik," ujarnya.

SPRM perkasakan lagi sektor operasi dan pencegahan

Dalam perkembangan sama, SPRM akan terus meningkatkan sektor operasi dan pencegahan badan tersebut bagi membendung gejala rasuah secara lebih berkesan.

Azam berkata, usaha itu termasuk memperkasakan tindakan perisikan, penguatkuasaan serta aktiviti pendidikan masyarakat.

Selain itu kata beliau, tindakan pencegahan rasuah secara lebih berkesan dan cekap melalui strategi serampang tiga mata dalam penunaian fungsi suruhanjaya tersebut dengan lebih berkesan.

"Perancangan dan tindakan operasi hendaklah selari dengan perancangan serta tindakan di sektor pencegahan bagi mencapai impak yang lebih berkesan dan menyeluruh.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada tindakan-tindakan pelucuthakan harta dan pemulihan aset harta-harta jenayah melalui pendekatan yang holistik.

"Ini bagi memastikan hasil perbuatan haram tersebut dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan secara keseluruhannya punca kepada berlakunya perilaku jenayah," katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, semua tindakan tegas itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, pelucuthakan harta dan pemulihan aset berkaitan harta yang terlibat dengan jenayah merupakan kaedah yang berkesan dalam hala tuju hasil siasatan, selain daripada tindakan pertuduhan.

Tegasnya, kaedah itu bukan sahaja memberikan hasil lebih baik, malah mengembalikan semula ketirisan dana negara yang telah berlaku.

Tambahnya, kaedah itu juga merupakan satu tindakan punitif untuk menghukum pesalah, selain mengenakan hukuman penjara dan denda di mahkamah.

Menurutnya, tumpuan juga wajar diberikan kepada pemerkasaan sektor pengurusan bagi memastikan perkhidmatan yang cekap serta pengukuhan kapasiti, seterusnya memantapkan kapabiliti warga SPRM secara berterusan.

"Warga SPRM dituntut untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, ikhlas, adil dan profesional.

"Budaya kerja cemerlang, komited, rajin dan berdisiplin harus sentiasa dijadikan amalan dalam kalangan seluruh warga SPRM sejajar dengan Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 (PARAS) serta Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM.

"Selain itu, jalinan kerjasama erat dengan pihak media adalah amat penting bagi menyebar luas sebarang aktiviti operasi, pencegahan rasuah dan pengukuhan kerana media merupakan penghubung kepada rakyat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!