'Alhamdulillah 'Baby Doll' sudah mula makan bubur'

Tangkap layar hantaran mengenai perkembangan Abdullah dalam TikTok yang kini sudah semakin pulih.
Tangkap layar hantaran mengenai perkembangan Abdullah dalam TikTok yang kini sudah semakin pulih.
A
A
A

SEGAMAT - Remaja yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga maut membabitkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini pada 1 September lalu sudah keluar hospital dan beransur-ansur pulih.

Abdullah Amir Ruddin, 15, yang sebelum ini tidak stabil dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat kini dijaga ahli keluarganya.

Namun pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir, Tangkak itu dilihat terlantar di atas katil perlu dibantu untuk makan dan minum.

Perkembangan tersebut dikongsikan menerusi sebuah video dalam TikTok milik abangnya, Abdur Rahman, 19, beberapa hari lalu.

Difahamkan Abdullah kini sudah mula berselera untuk makan dan tiub susu juga sudah dicabut.

“Alhamdulillah satu lagi miracle (keajaiban) ALLAH tunjuk, baby doll (Abdullah) dah mula makan bubur dan semalam dia dah mula isi perut dia yang kurus keding tu.

“Doakan semoga cepat sembuh ya,” tulis Abdur Rahman.

Terdahulu, Abdullah menjalani pembedahan akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan pada jam 6.37 petang itu meragut nyawa ibunya, Noorahimah Noor Muhamad, 43, dan bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemelah di sini untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!