‘Bila kita nak umum sasaran pengurangan pekerja asing?’ - Pakar
SHAH ALAM - Sehingga kini tiada jadual sasaran pengurangan pekerja asing yang diumumkan kerajaan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kebanjiran pekerja asing antara punca gaji dan upah dibayar rendah kepada rakyat di negara ini khususnya kumpulan berkemahiran rendah.
Menurutnya, kerajaan seolah-olah tidak bersungguh-sungguh ingin menangani kebanjiran dan mendakwa cepat tergugat dengan tekanan daripada majikan.
“Sehingga kini tiada jadual sasaran pengurangan pekerja asing yang diumumkan. Betul, kita perlu kurangkan secara beransur-ansur, tetapi apa sasaran kita? Sektor mana yang terlibat? Bila akan dilaksanakan?
“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah menggerakkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Dasar Gaji Progresif (DGP) sedang rancak dibincangkan serta dijangka akan diperkenalkan sebagai langkah meningkatkan pendapatan rakyat dalam masa terdekat.
“Kita fokus kepada menangani ‘akibat’, bukan ‘punca’. Kita tutup mata daripada melihat punca,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada Isnin, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, permohonan pengambilan pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas dibuka pada 10 Oktober ini.
Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September telah meluluskan untuk membuka sebanyak 7,500 kuota pekerja asing bagi ketiga-tiga subsektor berkenaan dan angka itu meliputi 5,000 pekerja asing sedia ada bagi subsektor itu, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, kerajaan perlu menstruktur semula ekonomi agar ia bernilai tinggi di setiap peringkat seperti yang disarankan dalam kerangka Ekonomi Madani dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ujarnya, kredibiliti polisi akan tercabar sekiranya majikan masih menagih pekerja asing sehingga matlamat Ekonomi Madani untuk Malaysia menjadi Jaguh Ekonomi Asia tercabar.
“Kita lancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),manakala tahun sebelumnya Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) iaitu menekankan kecanggihan ekonomi dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, namun ia tidak mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Saya yakin Belanjawan 2024 juga akan melaungkan harapan yang sama. Negara perlu berganjak, distruktur semula untuk menjadi jaguh Ekonomi Asia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!