Modus operandi ulat tiket licik

Situasi yang sering berlaku apabila para penyokong sanggup beratur panjang untuk membeli tiket final. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli Hashim)
Situasi yang sering berlaku apabila para penyokong sanggup beratur panjang untuk membeli tiket final. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli Hashim)
A
A
A

ULAT tiket bola sepak di Kedah kini semakin licik menjalankan aktiviti mereka apabila berselindung di sebalik nama kelab penyokong bagi mendapatkan bekalan tiket untuk dijual di pasaran gelap.

Pengasas Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim berkata, beliau mula mengesan aktiviti tidak bermoral itu pada final Piala Malaysia 2016 membabitkan perlawanan antara Kedah dan Selangor.

“Pada final Piala Malaysia itu, saya mengesan sebuah kelab penyokong membuat permohonan palsu untuk mendapatkan peruntukan tiket daripada KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah).

“Modus operandi mereka adalah dengan menghantar tiga permohonan atas nama tiga kelab penyokong bagi mendapatkan tiket, kononnya untuk penyokong yang akan ke Kuala Lumpur dengan tiga buah bas.

“Namun, hanya dua buah bas yang bertolak ke Kuala Lumpur sedangkan permit dikemukakan adalah untuk tiga bas. Selepas disiasat, saya dapati mereka berpakat dengan pemilik bas (ketiga) untuk mengeluarkan permit perjalanan yang dikemukakan kepada KFA sedangkan bas itu tidak beroperasi.

“Jadi, tiket yang mereka dapat daripada peruntukan untuk bas ketiga itu dijual oleh ulat tiket dengan harga yang mahal iaitu daripada asalnya RM50 mencecah sehingga RM75 dan RM80,” katanya.

Zulkifli mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh berupa rakaman pengakuan pihak terbabit, namun tidak mendedahkan atau melaporkan kepada KFA sebelum ini dengan harapan ia tidak akan berulang.

Begitupun, berdasarkan situasi semasa, beliau bimbang ia masih berlaku memandangkan kelab serta individu yang pernah terbabit dengan kegiatan berkenaan kini dilihat semakin rapat dengan KFA.

Artikel Berkaitan:

“Saya bimbang apa yang berlaku pada 2016 masih berlaku, apatah lagi Kedah sekarang sedang berada pada prestasi terbaik dan melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA.

“Kelab yang pernah terbabit masih wujud, malah sekarang bergabung di bawah KFA dan ada ‘kepala besar’ ulat tiket yang pernah tipu KFA kini bergerak aktif untuk persatuan melalui kelab penyokong.

“Jadi sebagai penyokong, saya rasa bertanggungjawab mencegah ulat-ulat tiket yang wujud dalam kelab penyokong ini kerana mereka mengaut keuntungan dengan menipu dan menganiayai orang lain.

“Atas sebab itu saya tampil membuat pendedahan dan sedia bekerjasama dengan KFA untuk membanteras kegiatan itu,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!