Lebih 175,000 saman aktif kenderaan barangan belum dilunaskan - JPJ

Anggota JPJ memeriksa kenderaan berat pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS hari ini. Foto Bernama
Anggota JPJ memeriksa kenderaan berat pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 175,909 saman aktif membabitkan kenderaan komersial barangan masih belum dilunaskan sejak 2018, kata Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah saman tertinggi sebanyak 61,940 dengan setiap saman yang dikenakan adalah sekurang-kurangnya RM300.

Katanya, jumlah itu juga menunjukkan ketirisan kepada pematuhan undang-undang jalan raya dan JPJ akan memastikan agar pihak terbabit dapat menyelesaikan saman-saman ini supaya pemutihan dapat dilaksanakan kepada pemandu dan syarikat.

"Apabila saman dikeluarkan kita telah memberi tempoh tertentu untuk mereka menyelesaikan, namun mereka masih gagal melaksanakannya.

Justeru operasi yang bermula awal hingga akhir bulan ini adalah tindakan susulan oleh JPJ untuk mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial, di sini malam ini.

Dalam pada itu, mengenai operasi yang dilaksanakan malam ini, beliau berkata, setakat kira-kira lebih satu jam pelaksanaan operasi itu sebanyak 55 buah lori diambil tindakan.

Katanya, daripada sejumlah 239 kesalahan yang dikesan, 23 kesalahan daripadanya adalah tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh.

Lokman (kanan) memeriksa tayar kenderaan berat pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS hari ini. Foto Bernama
Lokman (kanan) memeriksa tayar kenderaan berat pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial di Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS hari ini. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

"Tuan-tuan bayangkan 23 orang ini tidak mempunyai lesen memandu (atau lesen tamat tempoh) tetapi masih lagi membawa kenderaan komersial yang mengundang bahaya bukan hanya kepada mereka sendiri tetapi pengguna jalan raya lain terutamanya kenderaan kecil.

Kita selalu lihat, apabila kemalangan membabitkan kenderaan komersial pemandu ini tidak mengalami cedera parah, tetapi pengguna kenderaan kecil akibat kelalaian dan ketidakpatuhan undang-undang para pemandu ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai Ops Khas Motosikal yang dilaksana sepanjang bulan lepas, Lokman berkata, 135,446 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu yang sah dan melanggar isyarat lalu lintas.

Selain itu katanya, JPJ turut menyita 6,567 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

Katanya, Ops Khas Motosikal itu memperlihatkan trend kesedaran yang rendah terhadap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna motosikal berumur 16 hingga 35 tahun yang berkorelasi dengan rekod kemalangan dan kematian yang tinggi pengguna motosikal di negara ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!