Tip buat anak jaga ibu bapa hidap alzheimer
PENYAKIT alzheimer adalah salah satu penyakit di bawah penyakit demensia.
Penyakit alzheimer bukan sekadar nyanyuk. Mula-mula simptom awal berlaku kepada ibu bapa (atau pasangan, bapa/ibu saudara, datuk dan nenek), anak-anak mungkin anggap ia perkara normal usia tua seperti terlupa tentang perbualan atau peristiwa sebentar tadi, salah letak barang, terlupa nama, tempat dan objek, susah untuk mencari perkataan untuk dituturkan, susah untuk membuat keputusan, dan tidak mahu membuat perkara baharu.
Lama-kelamaan, ibu bapa mula menunjukkan simptom yang merisaukan dan mungkin juga menyusahkan jika mereka tinggal bersama anak-anak seperti keliru, merayau dan sesat, tingkah laku obsesif, delusi, paranoid dan mengesyaki ahli keluarga, tutur kata yang sukar difahami, tidur yang terganggu, mood berubah-ubah, kepayahan mengagak jarak, dan halusinasi.
Ketika itu, anak-anak mungkin risau jika mereka duduk berdua atau berseorangan di kampung atau risau jika ditinggalkan di rumah ketika anak-anak pergi kerja, malu jika ada pelawat, dan malu untuk membawa ibu bapa berjumpa doktor.
Akhirnya, simptom ibu bapa semakin teruk. Ibu bapa mungkin tidak mendapat penjagaan yang baik daripada anak-anak, dan anak-anak sebagai penjaga pula tidak mendapat penjagaan kendiri yang baik hingga menjejaskan kesihatan mental, kerukunan rumah tangga, hubungan adik-beradik dan prestasi kerja.
Ketika itu simptom semakin teruk seperti bersikap agresif, kesukaran menelan makanan, kesukaran untuk berdiri, duduk atau mengubah posisi badan, penurunan drastik berat badan, ketidakupayaan mengawal pundi kencing, dan beransur-ansur hilang upaya berucap.
Adalah penting untuk penjaga pesakit alzheimer mendapatkan masa untuk diri sendiri, sokongan sosial yang baik, tip yang betul tentang cara berkomunikasi dan menjaga pesakit alzheimer, tip yang betul untuk mengatur semula susun atur dan warna perabut serta peralatan di meja makan, bantuan penjagaan profesional (jika mampu), kaunseling untuk penjaga, dan juga mendapat rawatan psikologi klinikal dan psikiatri jika penjaga sendiri mengalami simptom penyakit mental.
Anak-anak orang lain mengalami kehibaan (grief) biasanya sekali iaitu selepas kematian ibu bapa. Tapi anak-anak kepada pesakit alzheimer akan mengalami kehibaan dua kali: pertama setelah ibu bapa kehilangan personaliti mereka hingga seolah-olah mereka bukan ibu bapa kita yang mengenali kita dan kita kenali dulu, dan kedua selepas mereka meninggal dunia.
Bawalah ibu bapa untuk mendapatkan diagnosis daripada pakar geriatrik atau pakar neurologi ketika awal-awal munculnya simptom penyakit alzheimer supaya kehidupan ibu bapa dan juga anak-anak sebagai penjaga menjadi lebih bahagia dan kesihatan mental dapat diuruskan dengan lebih baik disebabkan penjaga lebih bersedia.
ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (sopan-santun). [Al-Qur’an, surah al-Isra’: 23]. Bagaimana mengamalkan ayat ini kepada ibu bapa yang ada penyakit alzheimer? Bagaimana jika mereka mahu berjumpa nenek yang sudah meninggal dunia? Atau mahu balik rumah kampung zaman mereka muda yang sudah tidak lagi wujud? Pesakit alzheimer mungkin bertingkah laku seperti kanak-kanak, dan tidak lagi berfikir secara normal. Tapi emosi mereka masih lagi normal.
Di bawah adalah sebuah puisi bagi menggambarkan emosi seorang pesakit demensia umumnya dan penyakit alzheimer khususnya agar anak-anak atau penjaga dapat berkomunikasi secara lebih mulia dengan mereka:
PUISI: JIKA AKU MENGALAMI DEMENSIA...
1. Aku mahu keluarga dan sahabatku menerima realiti aku.
2. Aku tidak mahu dilayan seperti budak, bercakaplah dengan aku seperti orang dewasa.
3. Aku masih mahu menikmati perkara yang aku sukai – cari cara untuk bantu aku bersenam, membaca, berhobi, dan menziarahi sahabat.
4. Tanya aku tentang pengalaman silam aku.
5. Jika aku nampak gelisah, ambil masa untuk mencari apa sebab yang mengganggu aku.
6. Layan aku seperti mana kamu mahu dilayan.
7. Pastikan ada banyak makanan kudapan di rumah kerana aku mudah marah jika aku lapar dan aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahu orang lain yang aku lapar.
8. Jangan bercakap tentang diri aku, seolah-olah aku tidak berada di hadapan kamu.
9. Jangan rasa bersalah jika kamu tidak dapat menjaga aku selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Dapatkan bantuan personal dan/atau profesional.
10. Jika aku terpaksa tinggal di penempatan khusus untuk pesakit demensia, selalulah ziarah aku.
11. Jangan tunjukkan rasa kecewa jika aku tidak dapat mengingati nama, peristiwa atau tempat. Ambil nafas dalam-dalam. Ia bukan salah aku.
12. Pastikan aku dapat sentiasa mendengar bunyi-bunyian (al-Qur’an, muzik) yang aku gemari.
13. Jika aku suka kutip dan pindah (sepahkan) barang-barang, ambil barang tersebut dan simpan semula di tempatnya yang asal.
14. Jangan sisihkan aku daripada perjumpaan keluarga dan saudara-mara.
15. Aku masih sukakan pelukan dan jabat tangan.
16. Ingatlah, aku masih lagi individu yang kamu pernah kenal dan sayangi.
* Dr Alizi Alias merupakan Konsultan Psikologi Organisasi Ahli Majlis Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!