Firma Jepun hasilkan bantal tidur untuk pekerja di pejabat

'Gogi no Makura' atau bantal petang membolehkan pengguna tidur seketika di meja pejabat dengan selesa. - Agensi
'Gogi no Makura' atau bantal petang membolehkan pengguna tidur seketika di meja pejabat dengan selesa. - Agensi
A
A
A

OSAKA - Sebuah firma di Osaka, Jepun mencipta bantal lebih selesa untuk pekerja tidur seketika di pejabat.

Budaya tidur seketika atau dikenali sebagai 'inemuri' membolehkan pekerja berehat dalam tempoh pendek dan bangun dalam keadaan segar untuk meneruskan tugasan di pejabat.

Menurut syarikat Atex Corporation, reka bentuk 'Gogi no Makura' atau bantal petang diinspirasikan daripada kerusi urut mudah alih.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menyebut bahawa produk tersebut disambungkan pada meja dan menyokong muka dan dada sambil pekerja tidur mencondongkan badan ke hadapan.

"Bantal baharu ini berukuran 31 sentimeter (sm) panjang dan 24 sm lebar serta direka untuk menyokong kepala dan bahagian badan yang lain, dengan lubang di tengah tempat muka bertemu bantal untuk memudahkan pernafasan selain mencegah tanda tidur pada wajah," kata jurutera, Natsuki sato.

Tambah Sato, tempahan dibuka pada awal Ogos lalu dan hampir 500 orang telah membuat pesanan awal iaitu jumlah yang melebihi jangkaan awal.

"Bantal petang ini berharga 8,800 yen (RM277) dan akan dipasarkan secara meluas bermula 15 Oktober ini," katanya.

Tahun lalu, dua syarikat Jepun bekerjasama untuk menghasilkan ‘pod tidur berdiri’ yang didakwa dapat membantu menyelesaikan masalah keletihan dalam kalangan penduduk negara itu akibat terlalu banyak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan sejenis pod menegak yang membolehkan pengguna masuk ke bahagian dalam lalu menggunakannya sebagai ruang peribadi untuk tidur sambil berdiri.

Dengan keadaan pekerja di Jepun yang kerap mengalami masalah bebanan kerja, pod tersebut boleh digunakan di mana-mana sahaja seperti tandas, di dalam tren atau di meja pejabat.

Kotak tidur tersebut dilaporkan menawarkan sokongan selesa ke atas kepala, lutut dan bahagian belakang badan.

Ia membolehkan pengguna tidur seketika tanpa perlu risau sekiranya terjatuh. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!