Warga emas hilang lebih RM200,000 sekelip mata
SINGAPURA - Seorang lelaki warga emas di Singapura berputih mata apabila wang simpanan berjumlah S$70,000 (RM240,556) lesap selepas memuat turun aplikasi memesan hidangan itik panggang dalam talian.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Loh, 74, berkata bahawa dia diminta membuat bayaran deposit S$5 (RM17) sebelum menyedari wang dalam akaun simpanannya hilang.
Loh mengesyaki scammer menggodam akaun banknya menggunakan Kit Pakej Android (APK).
"Saya terjumpa iklan pembekal itik panggang bernama Xiao Xiao Ya Zi di Facebook yang mempromosikan makanan istimewa Cina.
"Dia menawarkan 1.5 kilogram (kg) itik Peking pada harga S$23.80 (RM80.82)," katanya.
Tambah Loh, selepas menghubungi penjual tersebut di aplikasi WhatsApp, dia diarah memuat turun aplikasi pihak ketiga yang dipanggil 'Grab & Go' pada telefon bimbitnya.
Katanya lagi, selepas membuat transaksi, telefonnya mula meragam dan gagal diakses.
"Wang tersebut adalah simpanan hasil titik peluh saya selama 10 tahun.
"Saya sangka saya bijak dan tidak mudah tertipu," katanya yang menyalahkan diri sendiri kerana terpedaya dengan tawaran harga murah itik panggang yang menjadi kegemaran cucunya.
Sementara itu, Shin Min Daily melaporkan bahawa polis telah menerima aduan mangsa dan satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat kes tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!