Lima saranan LBS untuk Belanjawan 2024

Syarikat pemaju perumahan terkemuka itu kemuka cadangan untuk bantu perkasakan sektor hartanah

A
A
A

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan.

PETALING JAYA - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini menyenaraikan saranan bagi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober nanti.

Berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri 2023, LBS gembira kerana Malaysia telah mencapai kestabilan politik dan optimis bahawa ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh untuk beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, sektor hartanah sedang berhadapan beberapa cabaran, dengan dua isu utama, iaitu kenaikan kadar faedah dan turun naik harga barang mentah.

Kementerian Kewangan mengunjurkan kadar pertumbuhan sebanyak 4 peratus sehingga 5 peratus bagi ekonomi Malaysia bagi tahun 2023 dan LBS kekal teguh dengan komitmennya untuk menyediakan perumahan mampu milik serta berkualiti selaras dengan permintaan negara.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Bagi memenuhi matlamat ini, LBS mengalu-alukan pembentangan yang bakal diumumkan oleh kerajaan semasa Belanjawan 2024 dan sebagai sebuah syarikat yang proaktif, LBS telah merangka beberapa saranan yang dianggap penting untuk memacu sektor hartanah.

LBS juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan saranan ini sebagai suatu sumbangan yang bernilai dalam merancakkan sektor hartanah dan berdaya saing sejajar dengan objektif pertumbuhan ekonomi Malaysia.

1. Penyenaraian Semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC)

Cabaran inflasi semasa melibatkan peningkatan harga barangan keperluan dan peningkatan harga rumah. Bagi mengurangkan tekanan kewangan kepada rakyat, terutamanya mereka yang berhasrat untuk memiliki kediaman pertama, LBS mencadangkan agar Kerajaan mengkaji semula beberapa langkah tambahan.

Secara khususnya, LBS menyarankan pengenalan semula HOC kerana ia terbukti berkesan sewaktu pelaksanaannya pada tahun 2019 sehingga 2021. Oleh itu, dengan pengenalan semula kempen ini dijangka akan merangsang permintaan daripada bakal pembeli, menggalakkan pemilikan rumah dan membantu memberikan lebih banyak pilihan mengikut kemampuan bakal pembeli.

2. Insentif bagi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS)

Kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk menyediakan insentif atau subsidi khas bagi pemaju yang menggunakan sistem IBS ke dalam projek pembangunan mereka, kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan perumahan lebih mampu milik.

Insentif jangka pendek ini akan membuka jalan kepada penggunaan sistem konkrit pra tuang secara lebih meluas dalam sektor hartanah. Matlamat utamanya adalah untuk mencapai kecekapan pembinaan yang lebih tinggi, pengurangan kos dan kemampanan sekaligus mengekal atau meningkatkan kualiti pembinaan secara keseluruhannya.

3. Memperkukuhkan insentif kehijauan bagi pemaju

Dengan peningkatan kesedaran global terhadap pembangunan yang mampan dan hijau, kos untuk mereka bentuk, membangunkan pembangunan mampan dan neutral karbon boleh menjadi kos tambahan kepada pemaju tempatan, malahan lebih tinggi berbanding pembangunan konvensional.

Kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan hijau dan mempertimbangkan untuk menyediakan geran khas kepada pemaju. Ia bagi menggalakkan pemain industri untuk mengintegrasikan kehijauan dalam setiap projek pembangunan mereka, contohnya penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar.

4. Kos pematuhan yang lebih rendah

Menerusi komitmen LBS sebagai pemaju perumahan rakyat, syarikat itu mengutamakan harga mampu milik dalam kesemua projeknya. Namun begitu, perbelanjaan yang berkait dengan pematuhan seperti caj pembangunan, premium penukaran tanah, atau yuran penukaran hak milik strata saban hari semakin meningkat.

Oleh itu, pihak pemaju dan kontraktor terpaksa membayar kos ini dengan menaikkan harga hartanah. Berdasarkan iklim ekonomi semasa, LBS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan had atau mengurangkan kos pematuhan berkaitan pembangunan hartanah.

5. Menggalakkan perkembangan bandar urban melalui pembangunan infrastruktur

Pembinaan perbandaran yang mampan merupakan suatu matlamat utama bagi kebanyakan kerajaan di peringkat global. Pembangunan infrastruktur yang mampan merupakan perkara penting bagi objektif ini, kerana ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk untuk jangka masa panjang.

Oleh itu, LBS menyarankan agar kerajaan memberikan galakan insentif kepada pemaju agar mereka dapat menggabungkan teknologi moden ke dalam pembinaan projek seperti sistem cekap tenaga, grid pintar, solusi pengurusan sisa pepejal serta kecerdasan pengurusan trafik yang sistematik.

No Image Caption

Mengulas senarai saranan berkenaan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, LBS berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan.

Jelas beliau, Belanjawan 2024 nanti memberi peluang kepada kerajaan untuk membantu rakyat dalam menangani cabaran semasa, khususnya cabaran berkaitan dengan pemilikan rumah.

“Pembentukan Kerajaan Perpaduan diharap dapat mewujudkan persekitaran yang berupaya menarik lebih ramai pelabur, memupuk pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

“Kami berharap agar kerajaan dapat memberikan komitmen dalam memastikan rakyat mempunyai pilihan perumahan yang mencukupi, berkualiti tinggi dan mampu milik agar lebih ramai lagi rakyat dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah,” katanya.

Hock San menambah, berdasarkan sasaran jualan 2023 sebanyak RM2 bilion, LBS optimis kerajaan akan mengumumkan inisiatif yang akan terus menyokong projek syarikat itu yang sedang berjalan.

“Kami mengalu-alukan sebarang langkah kerajaan untuk memperkenalkan insentif pemulihan yang kukuh dalam pasaran hartanah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!