Pembantu kedai vape didakwa memiliki ketamin

Tertuduh diiringi anggota polis di mahkamah atas pertuduhan miliki dadah.
Tertuduh diiringi anggota polis di mahkamah atas pertuduhan miliki dadah.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pembantu kedai vape didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memiliki cecair disyaki dadah jenis ketamin, bulan lalu.

Tertuduh, Puveendran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati dalam milikannya cecair disyaki dadah berbahaya jenis ketamin dengan anggaran berat 570 mililiter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 29 September lalu jam lebih kurang 7 malam di Lukut Prima, Port Dickson.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 4 Disember ini.

Sebelum ini, Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed dalam kenyataannya berkata, polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencampurkan cecair 'vape mushroom' dengan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, vape berkenaan dipercayai dijual kepada remaja dan pelajar sekolah di sekitar Lukut dan Port Dickson.

Susulan itu, polis berjaya merampas satu botol cecair mengandungi dadah berbahaya jenis ketamin dan 12 botol cecair 'flavour' yang dibungkus semula dalam kuantiti yang lebih kecil sebelum dijual.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!