Waris peneroka rayu Felda atasi belukar di ladang sawit

Syed Rosli menunjukkan keadaan ladang kelapa sawit yang dipenuhi belukar. Gambar kecil dari kiri: Mohd Zul, Shaari
Syed Rosli menunjukkan keadaan ladang kelapa sawit yang dipenuhi belukar. Gambar kecil dari kiri: Mohd Zul, Shaari
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Warga Felda Lasah, di sini terdiri daripada generasi kedua dan ketiga merayu pihak pengurusan Felda untuk melihat secara menyeluruh keadaan ladang tanaman kelapa sawit yang didakwa tidak terurus.

Seorang peneroka generasi kedua, Mohd Zul Kulup, 58, mengakui terkilan dengan keadaan sebahagian kawasan tanaman kelapa sawit miliknya di peringkat tiga yang dipenuhi belukar.

Menurutnya, keadaan itu memberi kesan kepada hasil tanaman serta pendapatan yang akan diperoleh peneroka kerana keadaan belukar seperti itu menjejaskan pokok kelapa sawit serta menyukarkan pengambilan buah sawit.

“Saya sendiri sudah masuk ke kawasan tanaman ini dan memang sakit mata tengok betapa teruknya semak samun yang tak dibersihkan.

“Peneroka berhutang dengan Felda untuk menguruskan ladang tetapi kalau keadaan macam ini, berapa banyak hasil yang kami dapat nanti? Kalau begini keadaannya entah berapa lama hutang peneroka akan habis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi peneroka generasi kedua, Shaari Aziz, 64, pula memaklumkan selain masalah belukar tidak dibersihkan, terdapat juga isu pokok kelapa sawit liar yang tidak ditangani menyebabkan peneroka terpaksa menanggung kos tambahan untuk membersihkannya.

Menurutnya, masalah pokok kelapa sawit liar boleh ditangani di peringkat awal penanaman sebelum membesar seperti pokok asal dengan menggunakan racun namun apabila ia sudah besar, jengkaut terpaksa digunakan untuk memusnahkan pokok berkenaan.

Katanya, kehadiran pokok kelapa sawit liar itu juga menjejaskan pokok asal dari segi pertumbuhan dan pengeluaran hasil selain turut menyukarkan buat untuk dibawa keluar.

Artikel Berkaitan:

“Kebimbangan kita ini ada asasnya kerana kita pernah dapat hasil yang tinggi sebelum ini sebab kita pastikan seboleh mungkin buah-buah sawit ini dibawa keluar dan tidak membiarkan ladang semak samun.

“Kita bukan mahu menyalahkan Felda sebaliknya berharap agar kebimbangan disuarakan mengenai keadaan ladang ini diberikan perhatian sewajarnya supaya hasil dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Blok Q Rancangan Felda Lasah, Syed Rosli Syed Osman, 52, berkata, masalah-masalah tersebut dihadapi peneroka hampir di kesemua peringkat kawasan tanaman.

Katanya, disebabkan kecewa dengan keadaan tersebut ramai peneroka tidak lagi bersama Felda dan mengambil keputusan menguruskan sendiri ladang masing-masing.

Dia yang turut menguruskan sendiri ladang seluas 3.2 hektar sejak keluar dari pengurusan Felda pada bulan Mac lalu mengakui hasil diperoleh kini meningkat.

“Kami sebenarnya bukan nak keluar sangat dari Felda tetapi sebab tak ada pilihan lain sebab hasil diterima agak rendah berbanding menguruskannya sendiri.

“Kalau dulu hanya dapat sekitar hasil sekitar enam tan untuk lapan ekar (3.2 hektar), sekarang ini saya boleh dapat sehingga 13 tan bagi keluasan yang sama, Alhamdulillah,” katanya.

Katanya, pada bulan Ogos lalu pendapatan diperoleh sebulan mencecah RM9,000 dan keputusan untuk keluar daripada Felda itu tidak dikesali.

Dia berharap pihak pengurusan Felda mengambil serius tentang luahan anak-anak peneroka kerana bukan semua mampu untuk menguruskan sendiri ladang.

Syed Rosli berkata, jika hasil ladang tidak memuaskan, pendapatan akan berkurangan sekaligus generasi peneroka akan terus mewarisi hutang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan mengambil maklum tentang keluhan oleh generasi kedua peneroka di Felda Lasah itu.

Menurutnya, pertemuan akan diadakan bersama pengurusan Felda bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!