Bilangan isi rumah miskin di Kelantan menurun
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jumlah penduduk miskin di Kelantan mencatatkan penurunan daripada 67,772 ketua isi rumah (KIR) kepada 52,652 dari tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (PPNK) Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, penurunan itu disebabkan oleh KIR berjaya meningkatkan pendapatan selain anak-anak yang mula bekerja selepas menamatkan pengajian.
"Maklumat ini kita rekodkan menerusi statistik semasa e-Kasih Kelantan.
"Untuk makluman kita masih lagi menerima permohonan e-Kasih ini," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu, beliau menyampaikan taklimat mengenai fungsi dan peranan PPNK ICU JPM kepada media di pejabatnya di Tunjong di sini.
Menurut beliau, terdapat dua kategori miskin di negeri ini iaitu miskin tegar dan miskin.
Ujarnya, jajahan Kota Bharu menjadi penyumbang terbesar golongan miskin tegar di negeri ini dengan melibatkan jumlah seramai 2,051 diikuti Pasir Mas (1,246), Tumpat (1,121), Bachok (1,084) dan Pasir Puteh (1,043).
Sementara itu, sebanyak tujuh projek pembangunan dikategorikan sebagai 'sakit' selepas kerja-kerja pelaksanaan gagal disempurnakan mengikut jadual.
Jasri berkata, kesemua projek itu dilaksanakan bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Menurutnya, kesemua projek terlibat melibatkan pembangunan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok, pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
"Selain itu, penggantian jambatan Sungai Durian (Kuala Krai), menaik taraf, membaik pulih dan ubah usai infrastruktur kemudahan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, pembinaan jambatan Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang (Kuala Krai) serta cadangan membina dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, Pasir Puteh turut mengalami kelewatan," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Menurut beliau, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 mengalami kelewatan agak lama iaitu 193 hari diikuti Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (177 hari) dan pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (168 hari).
Ujarnya, kelewatan itu sememangnya memberi kesan kepada perbelanjaan dan manfaat kepada rakyat.
Jasri memberitahu, perbelanjaan untuk projek tersebut akan meningkat apabila berlaku kelewatan.
"Bagi rakyat pula, mereka tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan mengikut jadual," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!