Nasib berbeza Jin Wei, Letshanaa di Hangzhou
NASIB berbeza dialami dua pemain perseorangan wanita negara selepas bertarung pada peringkat Pusingan 32 acara badminton individu dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Selasa.
Pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei mudah melakar kemenangan ke atas wakil Vietnam yang menghuni ranking ke-135 dunia, Vu Thi Anh Thu.
Dalam aksi itu, Jin Wei meraih kemenangan 21-10, 21-13 dalam tempoh masa 29 minit untuk melangkah ke Pusingan 16.
Jin Wei bakal menentang Ashmita Chaliha dari India atau pemain nombor satu Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung pada Rabu untuk meraih tiket ke saingan suku akhir.
Bagaimanapun skrip berbeza dialami K Letshanaa terpaksa mengakhiri perjuangan pada temasya terbesar Asia itu lebih awal.
Letshanaa yang menghuni ranking ke-59 dunia terpaksa akur tewas kepada pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan yang berada di tangga ke-16 dunia.
Pertembungan itu menyaksikan Letshanaa kalah 13-21, 10-21 dalam tempoh 40 minit permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!