Piala Cabaran: KDA mahu kembali bangkit ke atas Kuching City
KEDAH Darul Aman (KDA) mahu bangkit pada aksi suku akhir kedua Piala Cabaran 2023 bertemu Kuching City di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Tewas 1-0 kepada pelawat di lawan lawan pada suku akhir pertama, 19 September lalu bukanlah penamat kepada sasaran mereka yang mahukan kemenangan pada setiap perlawanan.
Menurut pengendali KDA FC, Nafuzi Zain, semua pemainnya juga diingatkan agar tidak terjerat dengan 'perangkap' yang akan dipasang oleh ketua jurulatih, Kuching City, Aidil Sharin Sahak jika mahu mara ke peringkat seterusnya.
"Kami ketinggalan satu gol dan perlu mencari gol ke atas Kuching City selepas ini, saya berharap pemain dapat teruskan semangat dan momentum persembahan bagi mengelak dari sebarang tekanan.
"Pemain tidak perlu terburu-buru dan turun dengan perancangan teliti yang ditetapkan pada perlawanan ini malam esok," katanya.
Jelas Nafuzi, biarpun Sang Kenari kini sedang fokus dalam pemburuan kedudukan naib juara Liga Super 2023, namun mereka juga mempunyai impian yang tinggi dalam Piala Cabaran edisi kali ini.
Menurutnya, kemenangan 0-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Liga Super baru-baru ini menjadi peniup motivasi bagi meneruskan cabaran pada malam Rabu.
"Pada malam esok, pemain yang perlu diberikan perhatian adalah penyerang utama mereka iaitu Abu Kamara. Sudah sudah tiga kali kami berdepan pasukan ini dan dia adalah penyerang yang bahaya dan memiliki kemampuan menjaringkan gol termasuk melalui teknik tandukan yang bagus," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!