Disangka hilang, empat sekeluarga selamat pulang ke rumah

Empat sekeluarga yang dilaporkan hilang telah selamat tiba di rumah mereka di Kluang, Johor. - Foto Media sosial
Empat sekeluarga yang dilaporkan hilang telah selamat tiba di rumah mereka di Kluang, Johor. - Foto Media sosial
A
A
A

BESUT - Empat sekeluarga yang sebelum ini dilaporkan 'hilang' selepas gagal dihubungi ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini selamat pulang ke pangkuan keluarganya di Kluang, Johor.

Suraidah Abdul Ghani, 52 bersama dua cucu, Sasa Alesha Mohd Saiful 7 dan Ahamad Dhani Mohd Saiful, 4 serta seorang anak lelakinya, Mohamad Aiman Rafee, 21 dikatakan telah sampai ke rumahnya pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, perkembangan terkini mangsa telah dimaklumkan oleh ahli keluarga.

"Pihak polis menerima maklumat daripada pihak keluarga yang mengesahkan mereka berempat telah selamat sampai di Kluang, Johor.

"Perkembangan lanjut tidak dapat diberikan kerana setakat ini pihak keluarga mangsa tidak dapat dihubungi polis," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian di sini.

Beliau berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat ahli keluarganya pada Isnin setelah mereka gagal dikesan sejak 30 September.

Menurut Abdul Rozak, siasatan di lokasi percutian itu mendapati empat sekeluarga itu telah ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan telah menginap di Senja Bay Resort sebelum mendaftar keluar jam 8 pagi pada 1 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pengendali bot ketika mereka menyertai aktiviti snorkeling memberitahu telefon bimbit Suraidah dan Mohamad Aiman telah terkena air dan tidak dapat diaktifkan.

"Mereka telah menaiki bot kira-kira jam 8 pagi dan tiba di jeti Kuala Besut sekitar jam 9 pagi sebelum kenderaan mereka dikesan meninggalkan kawasan itu pada 1 Oktober lalu," katanya.

Pada Isnin, tular hantaran oleh seorang pemilik akaun Facebook yang bimbang mengenai kehilangan dua anak, ibu serta adik lelakinya yang gagal dihubungi sejak Sabtu lalu.

Hantaran dikongsikan melalui akaun Facebook Ah Pek itu mendapat 28,000 perkongsian, 3,800 komen dan 10,000 reaksi daripada netizen yang prihatin dengan situasi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!