'Calon Bebas jangan guna nama saya di Pelangai' - Adnan
BENTONG - Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob menasihatkan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli supaya tidak menggunakan namanya untuk memancing undi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Menurut Adnan, beliau tidak mengenali secara rapat dengan calon Bebas terbabit, sebaliknya mengetahui hubungan ayah beliau dan datuk calon sekadar kawan.
Adnan yang lebih dikenali Long Nan berkata, tidak mempunyai sebarang masalah dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam sekiranya mahu menggunakan namanya untuk berkempen.
Menurutnya, itu sekiranya nama beliau masih laku di DUN Pelangai.
"Saya tidak hendak memburukkan orang, tapi nama saya dijual juga. Ini tidak baik tapi terpulang kepada pengundi.
"Yang saya tahu arwah tok (datuk) dia (calon Bebas) dengan arwah ayah saya adalah sahabat. Ayah dia (calon Bebas) pun saya tidak berapa rapat, apatah lagi dengan dia. Tidak lebih tidak kurang," katanya ketika ditemui di Felda Kemasul di sini pada Selasa
Bekas ADUN Pelangai itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai calon bebas.
"Malas nak cakap lebih-lebih, kalau cakap nanti terasa harap jangan jual nama saya," seloroh beliau.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi DUN tersebut.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan Haslihelmy.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!