JPN nafi beri MyKad kepada warga Hong Kong, China
SUNGAI PETANI - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menepis dakwaan berlaku pemberian kad pengenalan (MyKad) kepada warga asing membabitkan warga Hong Kong dan China seperti mesej yang tular di media sosial minggu lalu.
Ketua Pengarah JPN, Zamri Misma berkata, isu yang tular tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kad pengenalan yang dikeluarkan JPN terdapat pelbagai jenis dan kategori tertentu.
"Sebenarnya pengenalan diri ada pelbagai di Malaysia, pertama MyKad macam yang kita ada tu untuk warga negara.
"Kita juga ada dalam bentuk penduduk tetap (PR), itu pun kita panggil kad pengenalan merah, jangan silap faham benda berkenaan, kadang-kadang yang kita bagi itu ialah PR," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Jabatan Pendaftaran Negara ke-75 di Murtadha Dakwah Centre (Madad) di Kampung Telok, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof.
Zamri berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa JPN akan memastikan integriti setiap dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan.
"Kita jamin sebab ini melibatkan dokumen keselamatan negara bukan perkara main-main, kita serius tentang benda macam ini," katanya.
Pada 23 September lalu, media melaporkan mesej palsu mengaitkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pemberian MyKad kepada warga asing kembali tular di media sosial.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi Pulau Pinang mengambil maklum penyebaran mesej itu dan menyifatkannya sebagai isu kitar semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!