11 premis jalankan aktiviti judi dipotong bekalan elektrik
JOHOR BAHRU - Sebanyak 11 premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua premis berkenaan berselindung di sebalik operasi kedai runcit, pasar mini dan telekomunikasi.
"Hasil siasatan mendapati kesemua premis berkenaan beroperasi antara enam hingga lapan bulan. Pengusaha premis perjudian merupakan individu berbeza namun dipercayai dalam kalangan sindiket yang sama dan sering bertukar lokasi premis perjudian.
"Tindakan Op Pemotongan Elektrik dengan kerjasama TNB Johor dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam sidang akhbar di Taman GP Prima, Gelang Patah di sini, pada Selasa.
Menurut Rahmat, secara keseluruhannya sebanyak 18 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik mulai Januari tahun ini hingga bulan lalu.
"Bagi tempoh sama, sebanyak 92 serbuan dilakukan membabitkan 94 tangkapan terhadap aktiviti perjudian loteri awam dengan nilai rampasan berjumlah RM11,375.
"Manakala bagi perjudian dalam talian, sejumlah 50 serbuan membabitkan 73 tangkapan dilakukan dengan nilai rampasan RM16,582. Seramai 68 pekerja premis perjudian berusia antara 18 hingga 30 tahun juga telah didakwa di mahkamah," ujarnya.
Beliau berkata, polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan sebarang penganjuran aktiviti perjudian.
"Pemilik premis terutama bangunan kedai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengenal pasti latar belakang penyewa agar premis mereka tidak digunakan untuk aktiviti perjudian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!